Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merancang penubuhan parti baru bagi menguatkan blok pembangkang hanya memudahkan kerja Umno untuk mengenal pasti ‘musuh politik’ yang sebenar.

Katanya, rancangan itu sangat dialu-alukan kerana sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen sudah termaktub dalam perlembagaan kebebasan untuk berpolitik asalkan penubuhan parti mengikut peraturan.

Beliau turut menyifatkan rancangan Dr Mahathir sebagai ‘gentelman’ berbanding berpolitik tanpa parti kerana ia lebih berperaturan dan semua pihak perlu menghormati, lapor Sinar Harian.

“Terima kasih Tun M sebab dia isytihar secara berperaturan, berparti secara rasmi dan juga isytihar untuk tawan BN secara terbuka, itu lebih memudahkan kita.

“Malah ia satu perkembangan yang baik bagi amalan sistem berdemokrasi selain memudahkan untuk BN buat persiapan awal, kerana kita dah tahu nak lawan siapa pada pilihan raya nanti,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini Dr Mahathir mengesahkan mengenai penubuhan pakatan pembangkang baru yang akan dianggotai parti-parti politik pembangkang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, pakatan itu akan disertai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan satu lagi parti baru akan ditubuhkan dalam usaha menewaskan BN dalam PRU14.

Beliau turut sependapat dengan Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali bahawa pembangkang harus bersatu dalam menghadapi PRU akan datang.

Sementara itu, Sinar Harian memetik  Annuar berkata dengan menubuhkan parti baru lebih baik daripada terus berada dalam Umno tetapi bersikap ‘tikam belakang’ dan berpura-pura ‘sayang’ kepada parti kerana ia hanya memberi kesan buruk kepada perjuangan anak bangsa.

“Dalam Umno hidup tetap diteruskan seperti biasa, mereka (Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah ‘musuh politik’ yang kita sudah kenal tiada perkara baharu.

“Kita kena mengalu-alukan mereka dan fikir itu lebih mudah sebab boleh kenal pasti siapa yang jadi pencabar Umno,” beliau dilaporkan sebagai berkata.