Jangan dwistandard, kata Gerakan pada DAP
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengkritik DAP atas keputusan majlis eksekutif pusatnya menangguhkan pemilihan parti untuk memberi tumpuan kepada pilihanraya umum akan datang.
Beliau berkata penangguhan itu akan memanjangkan tempoh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, yang tidak dibenarkan bertanding lebih daripada dua penggal.
"Pemuda Gerakan terkejut dengan keputusan tiba-tiba DAP untuk menangguhkan pemilihan parti mereka selepas kes rasuah yang dikatakan dihadapi oleh setiausaha agung mereka.
"Pada masa lalu, pemimpin DAP menggambarkan penangguhan pemilihan parti oleh parti-parti komponen BN tidak demokratik," katanya dalam satu kenyataan media.
Tan berkata walaupun Pemuda Gerakan bersetuju ia adalah hak parti politik berbuat demikian sekiranya termaktub dalam perlembagaan mereka, DAP tidak sepatutnya mengutuk pihak lain melakukan perkara sama.
"Itu adalah satu bentuk dwistandard," katanya.
Satu lagi contoh lain, Tan berkata DAP membenarkan Lim kekal sebagai ketua menteri Pulau Pinang walaupun ada gesaan supaya beliau bercuti sementara menunggu kesnya.
"Pada masa lalu, pemimpin-pemimpin DAP berkata, mana-mana pemimpin negara kita yang didakwa rasuah mesti mengambil cuti sementara menunggu keputusan perbicaraan.
"Bagaimanapun, sekali lagi, mengapa prinsip itu tidak dikenakan ke atas Lim?" soalnya.
Oleh itu, Tan berkata, Pemuda Gerakan menggesa DAP menghentikan "prinsip" yang parti itu sendiri tidak mahu ikuti.
"Kepura-puraan politik seperti ini perlu dihentikan oleh mereka. DAP harus berhenti menjadi 'Double Standard Action Party'," katanya.

