MB mahu ambil balik tanah Selangor daripada pusat
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memberi amaran akan mengambil semula tanah-tanah yang diserahkan sebelum ini kepada kerajaan persekutuan yang pada asalnya bertujuan untuk kepentingan orang bramai.
Katanya, ini kerana beberapa bidang tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan untuk membina infrastruktur asas dan kemudahan utiliti seperti sekolah masih belum dibangunkan.
“Baru-baru ini kita telah ambil ketetapan dalam mesyuarat exco, di mana banyak tanah yang telah diluluskan kepada kerajaan persekutuan (untuk) utiliti (seperti) sekolah, belum dibangunkan.
“Ada tanah-tanah telah dijual kerajaan pusat kepada pihak swasta bagi tujuan komersial. Sudah tentu ini bertentangan dengan semangat pemberian milik tanah kepada kerajaan persekutuan.
“Kita beri untuk tujuan rakyat, kalau tak, kita akan ambil balik tanah tersebut,” katanya.
Azmin menegaskan bahawa kerajaan persekutuan hanya membayar premium nominal apabila membeli tanah berkenaan daripada kerajaan negeri.
“Tapi bila jual, harga ikut harga pasaran. Saya rasa perkara ini tidak harus berulang,” katanya.
Menteri Besar Selangor itu pada April lalu mendakwa beberapa bidang tanah yang diberikan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) menyaksikan pemilikannya dipindahkan kepada syarikat-syarikat tertentu.
Sebagai contoh, Azmin berkata, tanah kerajaan negeri di Bukit Raja, Daerah Petaling telah dijual oleh kerajaan persekutuan kepada sebuah syarikat swasta.

