Sanjeevan dakwa diseksa ketika tahanan polis
Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan mendakwa beliau dipukul ketika ditahan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa pihaknya tidak mengetahui tentang dakwaan itu, tetapi akan menyiasat jika Sanjeevan membuat laporan polis.
Menurut peguam utamanya, Gobind Deo Singh, Sanjeevan yang didakwa dengan dua pertuduhan di mahkamah berasingan di Seremban awal hari ini, membangkitkan dirinya diseksa semasa prosiding.
"Beliau (Sanjeevan) berkata dirinya digari, mata ditutup dan dipukul. Selain itu, beliau tidak diberi ubat atau makanan sepanjang hari ini. Beliau juga mengadu bahawa permintaannya untuk rawatan perubatan kerana masalah pendarahan dalaman tidak diendahkan.
"Saya kemudiannya memohon suatu perintah yang mengarahkan polis untuk membawanya untuk pemeriksaan perubatan dan beliau dibenarkan membuat laporan polis berhubung aduannya hari ini juga [...]
"Hakim Mahkamah Sesyen, Fatiyah Idris kemudian bertanya kepada Sanjeevan untuk mengesahkan ini dan beliau berbuat demikian dalam mahkamah terbuka.
“Hakim kemudian membenarkan kedua-dua permohonan itu dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk melakukan perkara yang sewajarnya," kata Gobind dalam kenyataan, hari ini.
Penyeksaan itu didakwa berlaku di pusat reman di Kuala Lumpur, di mana Sanjeevan ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 4 (1) (a) Poca sehingga akhir bulan ini.
Perintah tahanan reman itu dibuat oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 11 Julai.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Sanjeevan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menggajikan pekerja asing tanpa pas yang sah dan melakukan pemerasan pada Jun lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah masing-masing di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.
Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa dengan sengaja mengambil seorang pekerja warga asing, M. Manivannan yang tidak memiliki suatu pas yang sah di kawasan Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Nilai kira-kira pukul 10.45 malam, 22 Jun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad, Izwan Ariff Ibrahim dan Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Gobind, S. Prakash, Ravin Jay Kumar dan Haijan Omar.
Gobind yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon mahkamah agar membenarkan tertuduh mendapatkan rawatan di hospital berikutan masalah kesihatan serta membuat laporan polis kerana didakwa dipukul dalam tempoh tahanan reman.
Hakim Fathiyah Idris kemudian membenarkan tertuduh mendapatkan rawatan di hospital dan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu semalam dengan diiringi polis.
Sanjeevan kini ditahan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sehingga 31 Julai ini.
Bagi pertuduhan kedua yang dibacakan di hadapan Majistret Nurulfitriza Abd Latif, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Goh Toh Hon, 38, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Mengikut fakta kes, Sanjeevan didakwa akan mendedahkan aktiviti perjudian haram yang dikendalikan oleh Goh dan sekali gus mendorong dengan curangnya mangsa supaya menyerahkan wang tunai berjumlah RM25,000 kepada tertuduh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

