12 NGO buat laporan polis 'Himpunan Derita Rakyat Kedah'
Dua belas badan bukan kerajaan (NGO) di Kedah hari ini membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berhubung 'Himpunan Derita Rakyat Kedah' berkenaan krisis air.
Himpunan yang dianjurkan PAS Kedah dan Dewan Pemuda PAS Kedah itu dijangka diadakan di hadapan loji rawatan air Kuala Nerang pada 5 petang, esok.
Presiden Kelab Belia Darul Aman Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, laporan polis dibuat agar pihak polis dapat mengambil langkah pencegahan dan menjalankan siasatan dan tindakan susulan terhadap program himpunan yang akan dijalankan secara haram itu.
"Tindakan mereka (PAS) mengadakan himpunan itu dilihat sebagai satu tindakan menghasut dan berniat untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Kedah. Ini juga usaha untuk menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) selaku pembekal air.
"Sedangkan, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk menjalankan langkah penyelesaian berhubung masalah itu. Tindakan mereka itu seolah-olah ingin menyalahkan kerajaan negeri sekarang sedangkan isu air ini telah timbul sejak pemerintahan parti pembangkang sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis, di sini.
Pada 12 Julai lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melalui satu mesyuarat khas berkenaan isu air, mengumumkan enam langkah jangka pendek kerajaan Kedah bagi menangani masalah bekalan air bersih termasuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak, menambah telaga tiub dan membekalkan tong statik kepada pengguna kurang berkemampuan.
NGO yang terlibat ialah Kelab Belia Darul Aman, Pertubuhan Jaringan Anak Melayu Kuala Rimau, Kelab Amal Ketuanan Melayu Kedah, Gerakan Belia 4B Alor Setar, Barisan Nasional Youth Volunteer Kedah, Persatuan Siswa Ansar, Pertubuhan Gelombang Biru Kedah, Team Cyber Kedah, Biro Aduan Awam Pemuda MIC, Youth Squad MIC Negeri Kedah, Persatuan Pengguna Kedah dan Pertubuhan Kebajikan serta Dakwah Islamiah Malaysia.
- Bernama

