Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim) mengumumkan mahu mengadakan pertemuan dengan pemenang Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi, dalam lawatannya ke Malaysia Ogos ini.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pertemuan dengan Suu Kyi penting bagi membincangkan isu penindasan terhadap etnik Rohingya yang beragama Islam dan etnik minoriti lain di Myanmar.

"Kami berpendapat sebagai pemenang Nobel Keamanan beliau kini berkedudukan paling strategik untuk meluncurkan proses reformasi nasional bagi mewujudkan Myanmar lebih harmonis antara pengikut agama di negara tersebut.

"Beliau juga telah menduduki puncak kekuasaan di mana perubahan drastik rakyat menerima parti beliau dengan majoriti besar perlu dijadikan peluang untuk melakukan anjakan untuk membela golongan minoriti yang di tindas selama ini di zaman rejim junta," kata Mohd Azmi.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Mohd Azmi berkata, pertemuan itu satu permulaan antara kerajaan Myanmar dan masyarakat Sivil Asean untuk melakukan interaksi produktif.

Mohd Azmi yang juga koordinator Jaringan Badan Bertindak Untuk Keadilan dan Keamanan Asean berkata, menteri luar Myanmar itu sewajarnya lebih mesra untuk mendengar pandangan NGO dan bertindak dengan bijak dalam menangani isu kaum Rohingya yang menjadi perhatian dunia itu.

"Kami yakin lawatan beliau nanti sepatutnya menjalinkan hubungan yang produktif antara beliau dan masyarakat sivil di Malaysia bagi melaksanakan agenda perlindungan hak dan mengembalikan keharmonian antara rakyat di Myanmar," kata Mohd Azmi.

Mohd Azmi berkata pihaknya juga akan mewujudkan Jaringan Bertindak Asean untuk dijadikan forum bagi mengembalikan hak golongan minoriti, sekali gus menghentikan kebencian terhadap Muslim.

Sehubungan itu Mohd Azmi menggesa Suu Kyi yang juga kaunselor negara itu menunjukkan komitmennya untuk memulihkan status etnik minoriti di Myanmar.

"Suara dunia dari pelbagai agensi antarabangsa dan komuniti sivil yang menuntut kerajaan Myanmar menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya tidak boleh dianggap campur tangan luar kerana ia sudah mendatangkan beban kepada negara penerima pelarian ini," kata Mohd Azmi.

Dapat jadual perjalanan

Malah, Mohd Azmi berkata pihaknya juga akan bertemu dengan Wisma Putra bagi mendapatkan jadual perjalanan Suu Kyu selama beliau berada di Malaysia.

Bagaimanapun, Mohd Azmi berkata sekiranya Suu Kyi enggan bertemu, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan bantahan bagi memastikan memorandum menuntut isu Rohingya ditangani disampaikan kepadanya.

"Kami akan cuba adakan pertemuan tetapi jika tidak dapat kami akan adakan perhimpunan untuk desak beliau terima memorandum," kata Mohd Azmi.

Kami juga akan cuba jemput tokoh agama Buddha dan Hindu serta berunding Tan Sri Syed Hamid Albar selain wakil parti politik bagi tujuan tersebut.

Terdahulu Mapim mengadakan mesyuarat untuk bersemuka dengan Suu Kyi yang dijadual melawat Malaysia Ogos ini.

Mesyuarat yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu berlangsung selama tiga jam setengah dan dihadiri lebih 10 NGO dengan perwakilan dari Thailand dan Indonesia.