Menteri: Jangan terburu-buru hakimi kes 1MDB sebelum terbukti
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta orang ramai supaya tidak terus membuat kesimpulan berhubung dakwaan yang dibuat ke atas 1MDB di Amerika Syarikat.
"Tiada siapa yang patut terburu-buru menghakimi sebelum tuduhan terbukti di mahkamah,” kata Salleh dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataannya itu dibuat selepas Jabatan Keadilan Amerika Syaraikat, semalam memfailkan tindakan undang-undang untuk menyita dan merampas aset yang dibeli dengan dana yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.
Salleh berkata, dana pelaburan negara itu menjadi mangsa serangan bermotifkan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dipilih secara demokrasi.
Menurutnya, banyak tuduhan seperti kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya RM42 bilion lesap, yang kemudian dibuktikan tidak benar.
"Dalam hal ini, pengesahan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dwipartisan.
“Ini bermakna mana-mana dakwaan berhubung 1MDB perlu ditangani dengan berhati-hati mengikut proses undang-undang dan mematuhi prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya,
Salleh berkata siasatan menyeluruh pihak berkuasa negara ini serta Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir juga mengesahkan Najib tidak bersalah dan wang di akuan banknya adalah sumbangan dari keluarga diraja Saudi.
Al-Jubeir mengesahkan sumbangan berkenaan pada bulan April, dua bulan selepas beliau dipetik berkata meraguinya.
Najib, yang telah dibersihkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB tidak dinamakan dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat semalam.
Walau bagaimanapun, saman itu mendakwa bahawa seorang individu yang tidak dinamakan, tetapi digelar sebagai 'Malaysian Official 1' telah menerima ratusan juta dolar dana milik 1MDB.
Antara transaksi itu termasuk deposit AS$681 juta dari 1MDB yang dimasukkan dalam akaun rasminya pada tahun 2013.

