Bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-90, isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerbitkan autobiografi beliau bertajuk 'My Name is Hasmah'.
Semasa sesi soal jawab di majlis pelancaran itu semalam, Siti Hasmah menggeleng-gelengkan kepalanya apabila ditanya oleh pengacara majlis, bekas Ratu Cantik Malaysia Yasmin Yusuff, sama ada beliau mendapat kebenaran suaminya untuk menulis buku itu.
"Dia tidak meminta izin saya untuk menulis bukunya (A Doctor In The House)," kata Siti Hasmah, disambut gelak ketawa hadirin.
Ditanya sama ada terdapat rahsia didedahkan dalam buku ini yang tidak diketahui anak-anaknya, Siti Hasmah sekadar menjawab, "banyak".
Pelancaran buku itu semalam bertemakan bunga-bungaan dan dihadiri oleh semua ahli keluarga dan kawan-kawan rapat.
Diadakan di Glasshouse di Seputeh Kuala Lumpur, ahli keluarga Siti Hasmah berpakaian dengan bertemakan bunga, kecuali Mahathir yang selesa dengan bush jaket beliau.
