Pihak polis tidak dimaklumkan mengenai pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan skandal 1MDB malam semalam.

Justeru, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mengulas kerana ia melibatkan prosiding sivil.

“Kami tidak dimaklumkan jadi saya tidak mahu komen.

“Saya tidak berhasrat untuk komen mengenai perkara itu, kerana itu adalah prosiding sivil itu adalah langkah yang diambil oleh AS, jadi saya tak berhasrat komen,” katanya kepada pemberita di ibu negara.

DOJ memfailkan saman untuk merampas hartanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalah guna dan aset lain yang terlibat termasuk rumah mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem Hollywood The Wolf of Wall Street.

Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Loretta Lynch juga mengeluarkan kenyataan yang memberi tamparan hebat kepada kerajaan Malaysia, bahawa sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion milik rakyat Malaysia telah dicuri.