BERITA Malaysiakini

AG: Tiada bukti wang digelapkan, PM tak disebut

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali menegaskan tiada bukti menunjukkan wang daripada 1MDB digelapkan.

“Tiada bukti daripada sebarang siasatan djalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan dalam pelbagai bidang kuasa menunjukkan terdaoat wang digelapkan daripada 1MDB...,” katanya.

Apandi juga berkata tiada pertuduhan jenayah terhadap mana-mana individu atas kesalahan menggelapkan dana daripada 1MDB.

Apandi juga menzahirkan kebimbangan terhadap dakwaan dan sindiran terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap dakwaan salah laku dalam kes langkah sivil in rem yang difailkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS).

“Peguam negara ingin jelaskan bahawa tiada dalam tuntutan sivil difailkan oleh DOJ AS yang perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku,” katanya.

Apandi awal tahun ini telah membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku dalam dua siasatan rasuah yang berkait dengan 1MDB.

DOJ, dalam saman untuk menyita aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB, tidak menamakan Najib.

Jabatan itu bagaimanapun menyebut "Malaysian Official 1" didakwa menerima AS$781 juta wang yang disalah guna.

Malaysian Official 1 dirujuk sebagai “pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan autoriti dengan 1MDB”.

Dalam kenyataan petang ini, Apandi juga berkata kes itu sedang diteliti oleh polis dan butirannya tidak sesuai didedahkan buat masa ini kerana boleh menjejaskan siasatan.

“Peguam Negara ingin tegaskan bahawa penting untuk memelihara integriti siasatan kerana orang ramai tidak boleh ragu terhadap hasil siasatan,” katanya.

Beliau juga berkata Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang permohonan daripada DOJ untuk mendapatkan maklumat atau bukti.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan permohonan itu selari dengan komitmen dalam kerjasama antarabangsa untuk menentang pengubahan wang haram dan amalan rasuah.

“Sebagai pendakwa awam, peguam negara tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding terhadap pelaku tindakan jenayah jika terhadap cukup bukti untuk melakukannya.

“Setiap salah laku akan dihukum. Malaysia sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya.