Umno: Najib tak salah, Lim yang berdepan tuduhan rasuah
Gesaan Pakatan Harapan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan berikutan tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika ke atas aset yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB, hanya membuktikan tindakan dwistandard pembangkang, kata Umno.
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana Najib tidak pun terlibat dalam saman sivil DOJ, manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.
"Tapi (Lim) enggan bercuti atau melepaskan jawatan malah cuba pula menyeret rakyat untuk menyelamat diri sendiri," kata Annuar, merujuk kepada rancangan Lim untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.
"Tindakan dwistandard ini mencerminkan betapa mereka tidak konsisten dan tidak berintegriti dalam tindak tanduk mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Rabu lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa diperolehi dengan dana yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB.
Najib tidak dinamakan dalam saman itu, tetapi musuh politiknya mendakwa perdana menteri adalah orang yang dinamakan sebagai 'Malaysian Official 1" yang didakwa DOJ menerima AS$731 juta yang disalurkan dari 1MDB.
Pakatan Harapan menggesa Najib supaya meletak jawatan ekoran tindakan undang-undang DOJ itu, dan mengancam untuk memimpin rakyat dalam "tindakan politik" jika beliau tidak berdemikian.
Lim didakwa dengan dua tuduhan rasuah berhubung dakwaan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk kepentingan peribadi.
Lim didakwa meluluskan pengezonan semula sebidang tanah di Balik Pulau daripada pertanian kepada kegunaan kediaman, yang pendakwa raya berkata telah dilakukan untuk memberi manfaat kepada salah seorang pemilik tanah, ahli perniagaan Phang Li Koon.
Lim mempengerusikan jawatankuasa perancang negeri yang meluluskan pengezonan semula itu, yang kemudiannya ditolak oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Phang adalah pemilik banglo di Jalan Pinhorn, yang dibeli Lim dengan harga RM2.8 juta, yang dikatakan di bawah nilai pasaran.
Phang turut didakwa bersubahat dengan Lim untuk membeli hartanah di bawah nilai pasaran, yang merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan bagi seorang pegawai awam.

