Polis digesa membebaskan pengerusi badan pemantau jenayah, MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan daripada tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) kerana beliau telah pun didakwa di mahkamah.

"Pada 19 Julai, dia telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan yang berhubung kait dengan penahanannya di bawah Poca.

"Mengapa dia masih ditahan di bawah Poca walaupun telah didakwa? Dia sepatutnya dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah," kata Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran, seorang peguam, berkata penahanan berterusan Sanjeevan di bawah undang-undang yang sangat tidak menyenangkan, menggambarkan bagaimana penahanan tanpa bicara boleh disalahgunakan.

"Dalam kes Sanjeevan, penyalahgunaan Poca dapat dilihat dengan jelas.

"Sejak dia ditangkap pada 22 Jun, dia telah berkali-kali ditahan menggunakan peruntukan biasa dalam Kanun Tatacara Jenayah.

"Selepas beberapa perintah reman, majistret telah mula menolak permohonan polis untuk melanjutkan reman Sanjeevan.

"Kemudian, polis menggunakan Poca untuk meneruskan penahanan beliau," kata Surendran.

Mengapa tunggu laporan polis?

Beliau turut menggesa polis mengambil serius dakwaan Sanjeevan didera dalam tahanan dengan melakukan siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah tanpa menunggu laporan polis dibuat.

"Peguam Sanjeevan telah memaklumkan kepada hakim di mahkamah terbuka mengenai seksaan yang didakwa. Adakah itu tidak cukup untuk polis memulakan siasatan?" soalnya.

"Semua anggota polis yang dikatakan terlibat perlu dipindahkan untuk tugasan lain atau jika perlu digantung sehingga siasatan selesai. Adakah ini dilakukan?

"Dalam hal ini, ia tidak boleh diterima apabila timbalan ketua polis negara mengumumkan bahawa polis akan menyiasat jika Sanjeevan menyerahkan satu laporan polis," katanya.

Sanjeevan pertama kali ditangkap pada 22 Jun atas tuduhan memeras RM25,000 daripada seorang pengusaha perjudian.

Sepanjang tiga minggu yang lalu beliau dilepaskan dan ditangkap semula untuk siasatan berasingan di bawah Seksyen 384 dan 503 Kanun Keseksaan yang berkaitan pemerasan dan ugutan jenayah.

Beliau ditangkap buat kali kesembilan pada hari Ahad di bawah Poca, dan dikenakan tahanan 21 hari oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada hari berikutnya.

Kumpulan hak asasi manusia Suaram menggesa Sanjeevan dibebaskan segera dengan mengatakan polis dilihat tiada bukti mencukupi untuk mencadangkan tuduhan terhadapnya.

Peguam telah memfailkan permohonan bagi menyemak penahanan reman selama 21 hari yang dikenakan ke atasnya di bawah Poca.