Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan pilihan raya umum awal bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat Malaysia.

Cabaran kepada Najib untuk menggesa pilihan raya - seperti Pulau Pinang - adalah berhubung tindakan undang-undang sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap individu yang didakwa memperoleh jutaan ringgit daripada 1MDB.

"Saya cabar perdana menteri untuk mengadakan pilihan raya umum, sama seperti Pulau Pinang membincangkan kemungkinan pilihan raya mengejut, jika dia fikir semua dakwaan itu direka-reka," kata Lim pada sidang akhbar di George Town hari ini.

"Kami berharap kita boleh mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum supaya rakyat boleh buat keputusan," katanya.

"Jika semua saluran ditutup, maka biarkan rakyat menilai sama ada 1MDB bersih atau tidak"

Lim berkata, cadangan Pulau Pinang untuk menjalankan pilihan raya negeri selepas dia didakwa dengan dua tuduhan rasuah bukan untuk menyelamatkan dirinya, kerana dia mungkin dihukum kerana dakwaan tersebut.

"Lim Guan Eng tidak boleh diselamatkan lagi, mari kita berterus-terang. Saya bukan jenis yang menafikan perkara seperti ini, semua orang tahu, tetapi pilihan raya ini adalah untuk menyelamatkan rakyat dan Malaysia, kerana Malaysia masih boleh diselamatkan," tambah Lim.

"Pulau Pinang dan Malaysia dapat diselamatkan, jadi mari kita mengikuti proses demokrasi, dan minta rakyat untuk membuat keputusan sama ada mereka mahu memberikan kami mandat baru atau tidak," katanya.

Lim berkata mandat baru adalah untuk memastikan kredibiliti pihak berkuasa.