NGO Islam gesa jangan lupus kuasa cegah maksiat jabatan agama
Badan Islam bukan kerajaan (NGO) meminta pihak berkuasa supaya tidak melupuskan kuasa mencegah maksiat yang diberikan kepada pihak berkuasa agama untuk membolehkan mereka membasmi maksiat di kalangan umat Islam.
Badan Islam bukan kerajaan (NGO) meminta pihak berkuasa supaya tidak melupuskan kuasa mencegah maksiat yang diberikan kepada pihak berkuasa agama untuk membolehkan mereka membasmi maksiat di kalangan umat Islam.
"Jika kuasa tersebut dilupuskan, maka sudah tentu pejabat agama tidak boleh mencegah kemungkaran atau maksiat di kalangan umat Islam negara ini," kata Naib Presiden Kebangsaan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad, mewakili 40 NGO Islam dalam satu akhbar hari ini.
Turut hadir di sidang akhbar tersebut di pejabat Abim di Gombak, ialah wakil Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Katanya, memang menjadi tanggungjawab bersama, termasuk orang ramai dan pihak berkuasa agama untuk mencegah maksiat kerana ia merupakan jelmaan prinsip 'hisbah' atau 'amar makruf dan nahi mungkar' yang merupakan salah satu prinsip dasar dalam agama Islam.
"Selepas tercetusnya kontroversi berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas disko Zouk di Jalan Ampang Februari lalu, beberapa pihak telah mempertikaikan bidangkuasa pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan dalam mencegah maksiat dan salah laku moral.
"Sebilangan NGO dan individu tertentu pula mendesak agar peruntukan undang-undang yang memberi kuasa mencegah maksiat ditarik balik," katanya.
Sidang media ini diadakan untuk menyatakan pendirian Abim dan NGO Islam tersebut terhadap langkah pencegahan maksiat dan salahlaku moral harus dipertahankan berikutan tercetusnya kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas disko Zouk di Kuala Lumpur Februari lalu.
Berpandukan nilai agama
Ia juga bertujuan untuk menjelaskan tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan bidangkuasa pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan dalam mencegah maksiat dan salahlaku moral.
Yusri berkata, penglibatan pihak berkuasa dalam melaksana pencegahan kemungkaran atau maksiat jelas disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah dan tidak boleh dipertikaikan.
Bagaimanapun, katanya, perlaksanaan tugas tersebut oleh kerajaan atau mana-mana pihak harus berpandukan kepada nilai-nilai agama dan perlu dilaksanakan dengan adil serta dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang negara.
"Misalnya prinsip ini tidak mewajarkan tindakan mengintai `atau menjaga tepi kain orang'. Sebaliknya, jika kemungkaran atau maksiat berlaku secara terbuka, kerajaan atau masyarakat perlu bertindak. Jika tidak, telah berlaku kecuaian atau tanggungjawab oleh kedua-dua pihak tersebut," katanya.
Yusri berkata, maksiat dan salahlaku moral di ruang awam sebagai kesalahan yang tetap memberi kesan dan mengancam individu dan masyarakat dan kerajaan wajib membanterasnya.
"Kita tidak dapat menerima kehendak segelintir minoriti dalam negara ini untuk membenarkan ajaran agama diubah bagi membolehkan umat Islam melakukan kemungkaran secara terbuka seperti minum arak, berzina dan sebagainya.
"Proses pensekularan Islam seperti menyempitkan ajaran Islam kepada lingkungan individu perlu dibendung kerana ia akan menggalakkan budaya permisif yang merelakan kemungkaran berleluasa di dalam masyarakat," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperuntukkan dana untuk program pencegahan maksiat salahlaku moral termasuklah melatih penguatkuasa agar lebih berhemah dan berdisiplin ketika menjalankan penguatkuasaan.
Sekat hiburan keterlaluan
Ibu bapa, katanya, perlu mengukuhkan pendidikan akhlak, moral dan agama anak-anak mereka, katanya.
"Institusi agama termasuk masjid dan surau perlu membanteras budaya pemisif dan hedonisme yang semakin berleluasa dalam masyarakat Islam yang menyusup atas nama kebebasan yang dutaja oleh mereka yang berpandangan dunia barat.
"NGO membantu kerajaan mengawal kemelaratan kebejatan sosial seperti pesta arak, penzinaan dan seumpamanya demi membendung masalah sosial dari terus berleluasa.
"Media massa pula merancang dan memilih rancangan yang tidak membawa kepada budaya hiburan yang keterlaluan," katanya lagi.
Beliau berkata, berikutan berlakunya kelemahan pelaksanaan, maka memang wajar kajian semula dilakukan ke atas peruntukan sistem dan pelaksanaan pencegahan maksiat dari masa ke semasa.
Bagaimanapun, katanya, kajian semula tersebut harus bertitik tolak dari perpektif yang betul dan untuk membaiki amalan yang sedia ada dan bukannya merombak keseluruhan dasar dan prinsipnya.
"Kita sedia maklum bahawa memang ada kes-kes pelanggaran etika, ekstremisme dan sikap terlampau bersemangat yang melibatkan pihak penguatkuasa sivil. Namun yang menjadi persoalan adakah kita mahu menarik balik keseluruhan kuasa penguatkuasaan mereka hanya kerana kelemahan tertentu di peringkat pelaksanaan," katanya.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.