Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'AG perlu letak jawatan jika gagal dedah siapa MO1'

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan sekiranya gagal mendedahkan nama Malaysian Official 1 yang disebut oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS).

Mahfuz berkata Apandi juga harus berbuat demikian sekiranya tiada sebarang tindakan diambil selepas saman sivil dikemukakan DOJ bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

Sehubungan itu beliau meminta Apandi menghubungi DOJ dan mendedahkan kepada rakyat Malaysia siapakah 'Malaysian Official 1' yang dinamakan dalam saman itu.

"Kalau peguam negara gagal, peguam negara secara terhormat perlu berundur.

"Saya tengok peguam negara yang ada sekarang bukan lagi menjadi seorang peguam untuk negara tetapi peguam untuk melindungi perdana menteri dan penjenayah yang disebut dalam saman sivil DOJ," kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum kepada peguam negara bersama ahli parlimen PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan bekas pemimpin Umno, Datuk Khairuddin Abu Hassan di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Shamsul yang juga anggota parlimen Bukit Katil menggesa Apandi melihat semula keputusan beliau membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung kes 1MDB.

Dalam memorandum yang digelar sebagai 'Memorandum Rakyat' itu, Shamsul juga meminta supaya pendakwaan dibuat terhadap semua individu yang dinamakan oleh DOJ.

Menurutnya, Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) boleh diguna pakai kerana ia mempunyai peruntukan untuk bantuan bersama dalam perkara jenayah antara Malaysia dan negara lain seperti AS bagi mengumpul bukti serta memulakan pendakwaan di negara ini.

"(Selain itu) bekerjasama dengan semua jentera yang berkaitan seperti Kementerian Luar Negeri dan DOJ untuk membawa pulang dan memulangkan semula wang yang dicuri kepada rakyat Malaysia," katanya.

 

Lihat Komen
ADS