Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam tawar khidmat percuma untuk Zeti, Gani dan Abu Kassim

Pengamal undang-undang di negara ini disarankan menubuhkan kumpulan peguam bela sukarela untuk membela tiga individu berprofil tinggi yang didakwa Pemuda Umno berpakat mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Pengasas RIGHTS Foundation Yusmadi Yusoff berkata tindakan itu penting kerana ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada langkah mempertahankan kedaulatan tiga institusi penting Malaysia.

“Laporan polis dan tuduhan yang dibuat Pemuda Umno semalam serius, iaitu membabitkan dakwaan konspirasi menjatuhkan perdana menteri.

"Ia melibatkan kesalahan besar dan saya memang memahaminya kerana akta berkenaan dipinda ketika saya berkhidmat sebagai anggota parlimen suatu ketika dulu.

“Bagaimanapun tuduhan yang dibuat semalam dilihat tidak berasas dan berniat jahat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun semalam mengemukakan aduan kepada polis mendakwa Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed berpakat untuk menjatuhkan kerajaan serta Najib.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dalam laporannya yang turut diperolehi Malaysiakini, Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Zeti adalah bekas gabenor Bank Negara, manakala jawatan terakhir Abdul Gani dalam kerajaan ialah peguam negara. Abu Kassim pula bakal bersara daripada jawatannya sebagai ketua pesuruhjaya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

10 peguam sedia

Ketiga-tiga mereka disatukan oleh faktor siasatan pihak berkuasa terhadap syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, yang diketuai Najib.

Gani dipetik Bernama malam tadi menyifatkan dakwaan konspirasi itu hanyalah muslihat untuk mencari publisiti.

Kata Yusmadi, cadangan menubuhkan panel penasihat undang-undang sukarela itu memang penting dan berharap ramai peguam tampil menyertainya.

“Atas kesedaran ini saya menjemput peguam Malaysia tak kira muda, kanan, pensyarah, pelajar jurusan undang-undang supaya sama-sama mempertahankan institusi tersebut dan membela mereka secara sukarela (percuma),” katanya.

Kata Yusmadi setakat ini 10 individu sudah menyatakan kesedian memenuhi tawaran berkenaan.

Sementara itu Yusmadi yang juga ahli PKR dan bekas anggota parlimen Balik Pulau berkata tidak timbul isu beliau mempunyai masalah peribadi dengan Abdul Gani.

“Itu isu berbeza kerana apa yang kita bincangkan sekarang adalah mengenai 1MDB dan bekas pegawai kanan Bank Negara, pejabat peguam negara dan SPRM.

“Bank Negara, SPRM dan pejabat peguam negara adalah tiga agensi sangat penting kepada negara.

"Apabila tiga institusi ini berfungsi dan memihak kepada menjaga kepentingan rakyat, rakyat perlu bangun mempertahankan mereka,” kata Yusmadi.

Katanya, keadaan sama berlaku di Indonesia baru-baru ini apabila agensi antirasuah negara itu diasak sesetengah pemimpin politik, rakyat bangun untuk membela.

Lihat Komen
ADS