Malaysiakini BERITA

Kepimpinan bermula dari rumah, kata Rafidah

Shakira Buang  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan bahawa isu kepimpinan pada semua peringkat seharusnya bermula dari rumah.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Rafidah berkata seorang pemimpin yang baik akan memimpin keluarga dan anak-anaknya terlebih dahulu.

“Kepimpinan berjalan di semua peringkat. Jangan cakap mengenai kepimpinan perdana menteri, atau menteri. Kepimpinan bermula di rumah. Jika kita ibu bapa yang baik, dan pemimpin dalam keluarga, mereka akan bentuk anak-anak yang baik.

“Jika kamu memiliki pemimpin yang baik dalam organisasi sosial, dalam apa jua pertubuhan (atau) organisasi kerajaan, organisasi ini dapat berjalan tanpa masalah,” kata Rafidah dalam sesi soal jawab selepas melancarkan majlis Anugerah Jenama Paling Kukuh Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas ahli parlimen Kuala Kangsar itu juga mengingatkan bahawa seorang pemimpin tertinggi negara mewakili jutaan rakyat.

“Jadi, berhati-hati apabila anda bercakap tentang kepimpinan. Kepimpinan adalah mengenai melihat diri kita sendiri. Kita mempunyai lingkaran pengaruh. Tetapi kecenderungan di dunia hari ini, seorang pemimpin berada di atas. Maafkan saya, hanya ada seorang lelaki di atas sana (PM) tetapi terdapat 30 juta kita di bawah,” kata Rafidah.

Tidak dapat dipastikan sama ada ucapan Rafidah merujuk kepada keluarga perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.

Minggu lalu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) menamakan empat individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz dalam tuntutan samannya bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana firma pelaburan negara itu.

Akhbar The Weekend Australia turut melaporkan persengketaan keluarga itu apabila seorang lagi anak perempuan tiri Najib, Azrene Soraya Abdul Aziz secara terbuka membidas abangnya Riza.

Terdahulu, buat julung kalinya lebih 20 jenama terunggul di Malaysia pada tahun ini diberi penghargaan berdasarkan kajian BAV (Brand Asset Valuator).

Jenama tersebut merangkumi 10 kategori iaitu institusi perbankan, insurans, automotif, syarikat telekomunikasi, makanan dan minuman, infrastruktur dan asset, kecantikan, peruncitan dan penyiaran.

Anugerah tersebut diberi berdasarkan kecemerlangan dan data terperinci yang telah dikumpulkan dari pengguna.