'Perjalanan ke luar negara bukan hak perlembagaan'
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah memutuskan bahawa larangan perjalanan kepada ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada ke luar negara masih berkuatkuasa.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah berkata perjalanan ke luar negara, bukan hak perlembagaan Pua, termasuk semua orang.
Beliau sebelum ini memberitahu mahkamah dalam penghakiman lisannya bahawa Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larang terhadap mana-mana individu daripada ke luar negara mengikut Seksyen 3 (2) Akta Imigresen
Hakim Hanipah memetik kes Low Wai Kong yang diputuskan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim dan berkata, mahkamah terikat dengan keputusan itu.
Beliau tutut menamakan kes Victoria Jeyasalee baru-baru ini dalam samannya ke atas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pua pada 22 Julai tahun lalu dihalang dari perjalanan ke Yogjakarta selepas ketua polis negara memaklumkan kepada ketua pengarah imigresen bahawa ahli politik DAP itu disiasat mengikut Seksyen 124B berhubung tindakan memudaratkan demokrasi parlimen.
Pua berkata beliau kecewa dengan keputusan hari ini.
Beliau sebelum ini lantang mengkritik skandal 1MDB dan antara anggota parlimen utama menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat hutang firma pelaburan tersebut.

