Mahkamah Sesyen dan Majistret di Seremban hari ini membebaskan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan dengan ikat jamin sebanyak RM18,000.

Mahkamah juga memerintahkan Sanjeevan menyerahkan pasportnya, kata peguam Gobind Singh Deo dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

"Mahkamah Sesyen membenarkan ikat jamin RM8,000 sementara Mahkamah Majistret memerintahkannya diikat jamin dengan RM10,000," kata Gobind.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan habeas corpus Sanjeevan, dan mengisytiharkan tahan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) batal dan tidak sah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan semalam bahawa prosedur untuk menahan seseorang perlu dipatuhi.

"Oleh kerana terdapat keraguan mengenai arahan itu yang menimbulkan beberapa tafsiran, mahkamah membenarkan permohonan (habeas corpus) dan memerintahkan Sanjeevan dibebaskan serta-merta," katanya dalam penghakiman semalam.

Gobind kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, bahawa Sanjeevan tidak ditahan semula selepas membayar ikat jaminnya.

"Dia terus pergi ke sebuah kuil selepas dibebaskan," katanya.

[Baca berita penuh]