Hubungan DAP-PKR bakal jadi 'kudis, nanah' - MT Umno
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahdan percaya DAP akan 'menyerang' PKR setelah rakan sekutunya itu enggan bersetuju untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.
Parti Amanah Negara (AMANAH) telahpun bersetuju untuk mengadakan rancangan yang dicetuskan DAP itu.
Kata beliau, DAP boleh disifatkan sebagai 'terluka' pada masa ini dan dijangka mencetuskan perang dingin yang seterusnya akan merebak menjadi 'kudis, nanah' antara kedua-dua parti terbabit.
"DAP mungkin akan termenung, apakah ini balasannya setelah DAP bertungkus lumus memberikan sokongan padu dalam menjayakan gerakan ‘Langkah Kajang’, membantu kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini.
"Begitu juga soal pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bukankah DAP cukup konsisten membantu menjayakan pertukaran itu bagi melicinkan lagi gerakan yang sama pada peringkat awalnya.
“Justeru, tidak menghairankan jika perkara ini terbawa-bawa dan mungkin menjadi pencetus kepada permasalahan baru antara kedua-dua parti itu dan mengheret sekali Pakatan Harapan yang baru diperkenalkan itu,” kata beliau, memetik laporan Umno Online.
Perbalahan antara DAP dan PKR mengenai rancangan pilihan raya mengejut itu memasuki fasa baru baru-baru ini apabila Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya bertikam lidah.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat cuba meredakan keadaan dengan mengatakan perang mulut antara Pua dan Latheefa cuma perbincangan biasa.
Sehingga hari ini, PKR dilaporkan masih tidak bersetuju dengan cadangan pilihan raya itu dengan alasan belum cukup yakin untuk mengadakannya.
Mengulas lanjut, Sohaimi menambah, jika sebelum ini DAP dikatakan punca kepada perpecahan Pakatan Rakyat, ekoran perkembangan semasa, Pakatan Harapan juga mungkin mengalami nasib yang sama.
“Saya percaya ini tidak akan berakhir di sini, melihat apa yang berlaku hari ini saya percaya ianya akan meleret dan akan berterusan.
"Jadi rakyat lihatlah permainan dan gaya politik pembangkang yang mana masing-masing mempunyai agenda tersendiri yang sehingga kini masih belum terpadam.
“DAP dengan agendanya, PKR dengan agendanya, AMANAH dengan matlamatnya. Jadi rakyat boleh membuat penilaian apakah itu yang mahu diharapkan. Alasan demi alasan diberikan dalam usaha menghalalkan kelam kabut di dalam rumah tangga sendiri,” katanya.

