Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii menasihatkan bekas bosnya, Tan Sri Muhyddin Yassin agar cuba belajar mengenang jasa-jasa Umno kerana itulah ucapan yang kerap kali dengari dari mulut beliau semasa berada di atas pentas parti itu.

Beliau berkata, sekiranya mahu bertanding melawan Umno, maka bertandinglah dengan sihat.

"Jika mahukan kemenangan, tunjukkan apa yang diperjuangkan dan apa yang hendak diberikan kepada rakyat Malaysia, bukanya berjuang dengan mencari kesalahan orang." ujar beliau dalam kenyataan.

Semalam, ketika berbicara mengenai rancangan parti baru, Muhyiddin menyamakan Umno sebagai 'kereta rosak yang perlu diganti'.

"Umno sekarang seperti kereta buruk, bila baiki rosak lagi, jadi kita tukar kereta baru lah," ujar beliau, memetik laporan Sinar Harian.

"Nak baiki macam mana lagi Umno ini? Nak pinda perlembagaan? " tanya beliau.

Menurut Muhyiddin, beliau bersama-sama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengerusikan jawatankuasa perlembagaan parti, namun, tiada apa yang telah berubah.

"Tapi tak berubah, macam itu lah juga Umno, lebih lagi bila presiden partinya menjadi seorang yang amat tak bertanggungjawab," jelasnya, menurut laporan akhbar berbahasa Melayu itu.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan menambah, kemenangan mencari kesalahan tanpa ada dasar perjuangan ibarat tin kosong.

"Menghasut orang membenci tanpa ada formula untuk mentadbir dengan baik adalah kegagalan diri sendiri.

"Kalau ada formula yang hebat dalam dasar urus tadbir Malaysia dengan lebih baik, bentangkan dan jangan hanya pandai menyalak dan menunding jari sahaja," tambahnya.

Justeru, Pemuda Umno ingin ingatkan kepada Muhyiddin dan sekutunya yang telah hidup mewah hasil dari memegang jawatan dalam Umno suatu ketika dahulu supaya membuat keputusan yang lebih matang atau sekurang-kurangnya cubalah 'berlakon' jadi bijak.

"Satu jari menunding, empat jari lain menunding semula ke arah kamu," tegasnya.