Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memberikan reaksi terkejut apabila diminta mengulas dakwaan parti itu meminta 'satu atau dua' kerusi milik DAP di Pulau Pinang.

Bagaimanapun selepas diasak beberapa kali, ketua pembangkang itu berkata, isu mengenai pilihan raya mengejut Pulau Pinang telah selesai ekoran pengumuman Ketua Menteri Lim Guan Eng semalam.

Malah Wan Azizah mendakwa pembatalan pilihan raya negeri itu dibuat berdasarkan keprihatinan Lim kepada rakyat.

"Ha...sebenarnya benda ini sudah selesai. Kami akan teruskan (pentadbiran) seperti biasa.

"Saya faham apa yang telah ketua menteri lakukan dan buat keputusan sedemikian untuk kebaikan rakyat Pulau Pinang," kata ADUN Kajang itu ketika ditemui pemberita di dewan annex bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Semalam, Lim berkata, DAP membatalkan keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu kerana pimpinan PKR berpendirian bahawa ia tidak perlu.

Lim mendakwa PKR ketika mengadakan perbincangan dengan DAP memberikan syarat agar parti itu memberi 'satu atau dua' kerusi DUN negeri itu jika tetap mahu mengadakan pilihan raya negeri mengejut.

Selain itu, Wan Azizah turut menyifatkan pembatalan pilihan raya mengejut itu sebagai tindakan yang tepat.

"Tidak. Ini menunjukkan kita ada pendirian tetap yang mantap dan mengambil kira antara parti-parti yang bersama," tambah beliau.

Terdahulu, DAP mencadangkan agar pilihan raya negeri mengejut diadakan untuk memberikan mandat baru kepada Lim yang berhadapan dua pertuduhan berkaitan pembelian rumah banglo di bawah harga pasaran.