Menteri: Mesyuarat lancar, pindaan akta belum muktamad
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini mengadakan taklimat dengan Majlis Peguam berhubung pindaan kontroversi kepada Akta Profesion Undang-Undang seperti yang dicadangkan oleh kerajaan.
Pertemuan Azalina ini adalah yang pertama sejak beliau mengetuai Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mulai 28 Jun lalu.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak mencapai sebarang persetujuan dan merancang untuk bermesyuarat lagi pada bulan September.
Pada sidang media selepas perbincangan 80 minit itu, Azalina sekali lagi menolak dakwaan bahawa kerajaan berhasrat untuk meminda akta berkenaan dengan tujuan mengawal Badan Peguam Malaysia.
"Ini adalah perbincangan formal pertama saya dengan Majlis Peguam. Mesyuarat berjalan baik ... sebenarnya, lebih banyak perlu dibincangkan lagi," katanya.
"Apa yang berlaku akhir-akhir ini adalah bahawa pengamal undang-undang dan pihak luar mendakwa kerajaan mahu campur tangan (dalam Badan Peguam), secara langsung dan tidak langsung.
"Saya ingin menyatakan bahawa ini tidak benar. Pindaan akta itu belum muktamad lagi. Ia masih di peringkat perbincangan.
"Wakil-wakil Majlis Peguam, yang diketuai oleh presiden mereka (Steven Thiru), telah menimbulkan isu-isu yang mana mereka bersetuju dan tidak bersetuju," kata Azalina.
Beliau berkata mereka juga tidak mencapai kata sepakat mengenai cadangan untuk melantik dua wakil kerajaan menganggotai Majlis Peguam.
Isu-isu yang dibincangkan, katanya, lebih menjurus kepada masalah harian, peperiksaan Common Bar, penguasaan bahasa Inggeris dan cadangan pelaksanaan pengundian secara elektronik.
Katanya, persatuan itu turut mengemukakan cadangan dan bantahan mereka terhadap beberapa pindaan yang bakal dibuat.
"Saya menjelaskan pindaan itu masih belum dimuktamadkan dan dibuka untuk perbincangan. Malah, mengalu-alukan pelbagai pihak mengemukakan cadangan masing-masing untuk draf pindaan undang-undang berkenaan.
"Pindaan dicadangkan kelak demi kebaikan berterusan dalam sistem perundangan negara dan pihak yang berkepentingan terutama dalam melindungi kebajikan 17,000 peguam berdaftar di negara ini," katanya.

