'Ada keluar Umno, tapi ramai yang masuk'
Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Noh Omar berkata walaupun terdapat pihak yang bertindak keluar parti, perkara itu tidak akan melemahkan Umno.
"Bila nak keluar parti ini hak masing-masing. Ia biasa.
"Ada yang keluar, ada yang masuk. Jadi saya percaya walaupun ada yang keluar, ia tidak akan melemahkan Umno.
"Bila ada yang keluar, ramai yang masuk. Jadi ini adalah keadaan isu politik semasa," katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Aidilfitri di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan berhubung tindakan anggota Umno Sabah yang beramai-ramai keluar parti.
Terbaru, Sabtu lalu seramai 1,500 anggota parti itu keluar Umno selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.
Kesemua 1,500 anggota Umno itu daripada cawangan di bahagian Tenom.
Tindakan itu ekoran bekas naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan keluar parti selepas digantung keanggotaan.
Tindakan keluar parti juga dikatakan berlaku di Batu Sapi apabila seramai 600 anggota Umno daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi dilapor mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Umno.
Jun lalu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sulabayan Jaujan Sambakong mengumumkan keluar daripada Umno.
Langkah itu diambil selepas Pengerusi Tetap Umno Semporna Datu Eranza Datu Saribu bersama 19 anggota jawatankuasa dan akar umbi Umno bahagian melakukan tindakan sama.

