Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng menempelak Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berhubung cadangan untuk mewajibkan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di Selangor melaksanakan kutipan dana awam untuk membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah infrastruktur.

Menurut Lim, rakyat Selangor tidak memerlukan seorang menteri yang sebaik sahaja dilantik  dan terus berhasrat memerah rakyat yang sudah sedia terbeban dengan masalah kewangan.

"Langsung tidak masuk akal apabila kerajaan lebih sanggup membelanjakan berbilion ringgit untuk menghantar angkasawan menikmati roti canai di angkasa lepas serta membina menara pencakar langit KL118 (dahulunya dikenali sebagai Warisan Merdeka) tetapi enggan menyediakan khidmat asas kepada negara dengan memberikan tempat belajar yang baik.

"Tidak masuk akal juga apabila menteri yang baru dilantik semula ini cuba menunjukkan kerisauannya terhadap kekurangan dana kerajaan untuk menyelenggara sekolah sedangkan keseluruhan kabinet langsung tidak peduli dengan dakwaan kecurian US$3.5 bilion daripada 1MDB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Noh dilaporkan berkata, PIBG di Selangor mungkin boleh menganjurkan aktiviti mengumpul dana tahunan bagi membiayai kos penyelenggaraan sekolah.

Kerajaan, kata Noh, telah memperuntukkan berbilion ringgit setahun untuk tujuan tersebut namun ia masih belum mencukupi.

“Saya terfikir untuk mewajibkan PIBG di negeri ini untuk mengadakan program bertujuan mengumpul dana,” jelasnya semasa sidang akhbar karnival PIBG.

Mengulas lanjut Lim menambah, dalam belanjawan tahun ini, begitu banyak pemotongan dikenakan ke atas sektor pendidikan.

Nnamun perdana menteri bukan sahaja tidak mengurangkan perbelanjaannya malah menaikkan peruntukan daripada RM19 bilion pada tahun 2015 kepada RM20.3 bilion atau 7.6 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2016, tambahnya.

"Kita juga melihat kewujudan sembilan orang menteri di jabatan perdana menteri yang berfungsi untuk bercakap sahaja, dengan bermodalkan wang pembayar cukai.

"Kerajaan sewajarnya mengambil sebahagian daripada peruntukan RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri untuk digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah. Rakyat juga wajar dimaklumkan siapakah daripada sembilan orang menteri tadi yang tidak bersetuju dengan cadangan ini," ujar beliau lagi.