Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan bahawa parti itu meminta 'satu atau dua' kerusi milik DAP di Pulau Pinang sebagai selesai.

“Dakwaan (PKR minta kerusi)? Saya dah keluarkan kenyataan jadi tak timbul isu dua kerusi,” kata Azmin kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam sebentar tadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini berkata DAP membatalkan keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu kerana pimpinan PKR berpendirian bahawa ia tidak perlu.

Lim mendakwa PKR ketika mengadakan perbincangan dengan DAP memberikan syarat agar parti itu memberi 'satu atau dua' kerusi DUN negeri itu jika tetap mahu mengadakan pilihan raya negeri mengejut.

Manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam memberikan reaksi terkejut apabila diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Bagaimanapun selepas diasak beberapa kali ketua pembangkang itu berkata isu mengenai pilihan raya mengejut Pulau Pinang telah selesai menerusi pengumuman setiausaha agung DAP itu.

Malah Wan Azizah mendakwa pembatalan pilihan raya negeri itu dibuat berdasarkan keprihatinan Lim kepada rakyat.

Terdahulu DAP mencadangkan agar pilihan raya negeri mengejut diadakan untuk memberi mandat baru kepada Lim yang berhadapan dua pertuduhan berkaitan pembelian rumah banglo di bawah harga pasaran.