Terjemahan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi menjadi sasaran kerana memungkiri janjinya untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen untuk mendapatkan maklumbalas orang ramai mengenai cadangan pengswastaan air.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Shahriri Abdul Samad (BN-Johor Baru) mahu tahu mengapa kementerian telah mengubah pendirian awalnya itu.

"Adakah ini bermakna Dewan ini tidak boleh berpegang kepada janji seorang menteri," katanya sewaktu sidang Dewan Rakyat semalam.

Beliau merujuk kepada persetujuan Menteri berkenaan, Datuk Seri Lim Keng Yaik sebelum ini untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Parlimen bagi menyelia pengurusan bekalan air.

Lim menyatakan persetujuan itu di sidang khas Dewan Rakyat pada 18 Februari lalu untuk membahaskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2004, antaranya berhubung dengan pengswastaan air.

Pindaan tersebut bertujuan membenarkan bidangkuasa pengurusan bekalan air dipindahkan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

Makan masa

Bagaimanapun, bulan lalu, menteri berkenaan berkata jawatankuasa khas itu tidak perlu ditubuhkan kerana kementeriannya mampu mengendalikan isu-isu berbangkit mengenainya.

Shahrir berkata alasan bahawa tugas jawatankuasa khas itu akan mengambil masa yang panjang juga tidak boleh diterima.

Menurutnya, ia adalah satu isu yang kontroversial dan perkara-perkara berhubung pengswastaan air tidak pernah dikendalikan secara telus.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor kelihatan terpinga-pinga ketika kementeriannya menjadi sasaran berhubung isu tersebut.

Beliau yang mendakwa tidak tahu menahu mengenai keputusan tersebut, bagaimanapun berkata, jawatankuasa khas itu akan melambatkan usaha memaju dan memodenkan negara.

Tambahnya, pihak kementerian telah menjelaskan isu tersebut kepada kerajaan-kerajaan negeri dan telahpun mendapat maklumbalas untuk dibentangkan kepada kabinet.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) menegaskan menteri berkenaan tidak hadir untuk menjawab soalan dan Shaziman telah dijadikan "kambing hitam".