Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
938 taska, 747 pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar

Sebanyak 938 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan 747 Pusat Jagaan Kanak-Kanak di seluruh negara didapati tidak mempunyai Sijil Perakuan Pendaftaran bagi tempoh tahun 2014 hingga Jun tahun
ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata antara faktor utama yang menyebabkan taska dan pusat jagaan itu tidak memiliki sijil pendaftaran adalah kerana sukar mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian khususnya dalam aspek keselamatan.

"Untuk membezakan taska serta pusat jagaan yang berdaftar dan tidak
berdaftar adalah berdasarkan nombor pendaftaran yang terdapat pada premis berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo baharu Institut Sosial Malaysia (ISM), perasmian Taska ISM dan majlis jalinan mesra Aidilfitri ISM di Auditorium ISM, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, kementerian tidak akan berkompromi mengenai aspek
keselamatan di taska dan pusat jagaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini yang sering berulang.

Selain itu, setiap taska dan pusat jagaan juga perlu mempunyai ruang yang bersesuaian dengan umur serta jumlah setiap kanak-kanak yang berada di premis berkenaan, katanya.

Beliau berkata oleh kerana tidak mematuhi peraturan itu menyebabkan wujud Taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar.

"Bagi mengatasi masalah itu, kementerian menjalankan langkah pemutihan sebagai tanda pihak kami amat serius menangani masalah ini," katanya.

Rohani berkata sehingga kini terdapat hanya 4,240 buah Taska dan 1,650 pusat jagaan berdaftar serta 750 lagi dalam proses mendaftar sijil perakuan.

Mengenai majlis itu, beliau berkata logo baharu dan Taska ISM itu adalah
sebahagian daripada pemerkasaan peranan ISM sebagai Pusat Kecemerlangan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial.

Katanya, sehingga Julai tahun ini sebanyak 873 orang awam telah mendapat manfaat daripada program latihan yang dijalankan oleh ISM, manakala pada tahun lalu sebanyak 3,478 orang awam telah dilatih oleh ISM berbanding hanya 2,189 pada tahun sebelumnya iaitu meningkat sebanyak 58.9 peratus.

"Taska ISM ini disasarkan menjadi model Taska tempat kerja awam yang boleh dicontohi oleh majikan sama ada jabatan kerajaan mahupun pihak swasta," katanya.

-Bernama

 

 

Lihat Komen
ADS