Paling Popular
Terkini

ULASAN l Isteri saya terus mengingatkan supaya saya tidak lagi mengulas mengenai kenyataan menteri-menteri kabinet kerana kuathir saya akan terjerebak dengan lebih banyak masalah.

Sudah tentu, ini nasihat yang bernas dan lazimnya, saya menahan diri daripada berbuat demikian.

Tetapi apabila menteri kedua paling berkelayakan dalam kabinet, Khairy Jamaluddin (selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed), berkata ‘tidak apalah untuk ahli Umno untuk menjadi balaci dan macai’- saya perlu bertindak balas.

Ketika membesar, rakan-rakan Cina saya sangat berhati-hati menggunakan perkataan "macai" ke atas orang Melayu di hadapan kami.

Dalam loghat Kantonis, perkataan berkenaan bermakna seseorang itu "diperkudakan" - ibarat budak suruhan yang dicucuk hidung.

Keturunan Melayu saya bangga dengan asal usul dan watak peribadi kami, walaupun kami ada yang miskin dan berasal dari kampung-kampung.

Kami pasti akan menentang jika dilabel sebagai "macai" sama ada oleh rakan-rakan Cina mahupun orang Melayu. Sebagai kanak-kanak, kami tidak pernah mahu membesar untuk menjadi seorang balaci atau macai kepada sesiapa sekali pun.

Tetapi saya rasa orang Melayu generasi baru yang diketuai oleh pemimpin seperti Khairy tidak sama sekali terjejas atau rasa terhina apabila orang lain melabelkan mereka sebagai "macai".

Menurut Khairy, selagi orang Melayu dan Umno berjuang untuk mempertahankan presiden parti dan perdana menteri, mereka tidak perlu berasa terhina untuk dipanggil "macai".

Sesungguhnya ini adalah transformasi budaya baru yang dibawa Umno kepada orang Melayu.

Saya hanya ingin merayu kepada anak muda Melayu untuk menolak "nasihat" Khairy.

Kita mesti berbangga sebagai satu bangsa dan kita tidak seharusnya membenarkan orang lain untuk menggunakan kita atau menggambarkan kita sebagai “macai”.

Kita mesti bertanggungjawab untuk membangunkan semua orang Melayu dengan mengajar mereka nilai-nilai yang betul.

Khairy adalah berbeza. Beliau tinggal dan bekerja di "istana" dengan "maharaja" dan dikelilingi oleh panglima perang parti.

Untuk bertahan dalam autokrasi, sama ada Putrajaya atau (sebagai contoh) empayar Rusia, seseorang perlu menjadi "macai" pada setiap masa dengan harapan bahawa “maharaja” akan mempelawanya untuk menaiki takhta - dan sebaliknya, jika “baginda” tidak berkenan, individu itu akan dibuang ke suatu tempat terpencil.

Jadi y adalah betul bagi Khair untuk menjadi "macai" tetapi ia hanya betul buat dirinya. Kita tidak boleh berbuat demikian.


ZAID IBRAHIM adalah bekas menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio undang-undang.

 

Lihat Komen
ADS