Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memilih untuk tidak memberi respon terhadap tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau mengamalkan 'dwistandard'.

"Pasti, saya selalu mengamalkan 'dwistandard' dan dia (Rafizi) sentiasa adil," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu.

"Saya ada banyak kerja yang perlu dilakukan jadi saya akan membiarkannya," beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Semalam, Rafizi menuduh Khalid mengamalkan dwistandard selepas polis enggan mengambil tindakan terhadap Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

Ini berikutan laporan polis Khairul terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau menuduh mereka berkomplot terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan mengemukakan maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Bagaimanapun, Khalid memberitahu pemberita bahawa ketika disoal, Khairul mengakui laporan itu adalah berdasarkan kepada andaian semata-mata. Beliau dilepaskan dengan amaran tidak membuat laporan itu lagi.

Ada desakan meluas agar  pemimpin Pemuda Umno itu disiasat kerana membuat laporan palsu.