Terjemahan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mengaku bahawa kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpan di negeri itu, dijalankan dengan pengetahuannya serta menjelaskan mengapa ianya dibenarkan.

Katanya, Mohd Ali tidak boleh "lari atau bersembunyi lagi" dan sudah sampai masanya untuk beliau menjelaskan perkara itu kepada rakyat.

Kawasan hutan simpanan itu terletak hanya lima kilometer dari pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Hutan Negeri.

"Kerja-kerja pembalakan (yang dipercayai sejak enam bulan lalu) tidak mungkin dapat dijalankan tanpa pengetahuan Ketua Menteri. Ia dijalankan di depan matanya sendiri," dakwa Lim.

Semalam, Lim membawa pemberita ke hutan simpanan seluas 164 hektar itu di Bukit Beruang yang merupakan satu perlapan daripada kawasan hutan simpanan yang diwartakan di negeri ini, untuk mendedahkan mengenai kegiatan pembalakan haram di situ.

"Ianya adalah satu-satunya kawasan hutan simpan yang masih ada di wilayah tengah negeri ini. Jika mereka menebangnya, ia samalah seperti memungkiri janji, oleh Ketua Menteri, untuk melindungi hutan simpan di negeri ini.

"Perdana Menteri juga telah berjanji untuk membanteras kegiatan pembalakan haram di negara ini," katanya.

Nilai komersil

Akhbar melaporkan hari ini bahawa pokok-pokok besar yang mempunyai nilai komersil telah ditebang manakala kayu-kayu kecil yang dibakar, dilonggokkan di penjuru hutan simpan tersebut.

Akhbar New Straits Times memetik seorang pemaju tanah berhampiran kawasan tersebut sebagai berkata beliau ternampak "banyak pokok besar yang mempunyai nilai komersil seperti 'Bintagor' telah ditebang sejak beberapa bulan lalu.

Pada ini, dikatakan hanya tinggal pokok-pokok kecil yang tidak mempunyai nilai komersil di kawasan hutan simpan tersebut.

Pejabat Perhutanan Melaka dan Ketua Menteri belum ini mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut.

Pendedahan pembalakan haram di Melaka itu hampir sama dengan apa yang berlaku di Taman Pertanian Bukit Cahaya di Selangor baru-baru, yang dibersihkan sehinggal gondol bagi melaksanakan projek pembangunan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat kawasan terbabit di Selangor itu kecewa dengan kehilangan beribu-ribu pokok di situ.

Selepas itu, beliau menggesa pihak berkuasa negeri supaya menyerahkan lebih 800 hektar kawasan terbabit kepada kerajaan pusat. Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Sultan Selangor.