Malaysiakini
BERITA

KDN larang tanam pokok ketum secara komersil

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Ogs 2016, 8:23 pagi

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penanaman pokok ketum secara komersial di negara ini, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati daun ketum lebih banyak memberi kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.

"Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan (pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana keburukannya lebih banyak.

"Kita telah dapat input secara saintifik, daun ketum ini ada unsur-unsur kebaikan tapi lebih banyak unsur-unsur tidak baik jika digunakan iaitu boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Prima di ibunegara hari ini.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak menghalang penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan secara saintifik.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebelum ini dilaporkan bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri
farmaseutikal dari negara luar, yang usaha itu juga boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada pekebun kecil.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bertegas akan mengambil tindakan kepada pihak yang ingkar dengan arahan larangan menanam pokok ketum untuk tujuan komersial.

Beliau berkata mereka yang berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952 di bawah KKM.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.