69 klip video untuk raikan hari jadi Anwar
Menjelang 10 Ogos ini, genap usia 69 tahun bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk memperingati hari lahir bekas timbalan perdana menteri yang kini meringkuk di Penjara Sungai Buloh, 69 klip video akan dimainkan pada petang itu di luar penjara berkenaan.
Ucapan 'selamat hari jadi kepada Anwar akan menjadi sebahagian daripada klip yang akan dipaparkan.
Dalam kemas-kini di Facebook, kempen Bebaskan Anwar mempelawa orang ramai untuk merakam klip pendek - tidak lebih dari lima saat - dan mengirimkannya kepada mereka.
Klip berkenaan kemudian akan disunting dan djadikan sebuah video yang akan ditayangkan di luar penjara.
Menurut Adrian Lim Chee En, ahli sekretariat kempen Bebaskan Anwar, lebih daripada 30 klip telah diterima sejak acara itu bermula minggu lalu, termasuk juga rakaman video oleh rakyat di luar negara.
"Rakyat Malaysia ini berada di Amerika Syarikat, Thailand, Singapura, Taiwan, Jepun, dan UK.
“Mereka mengirim salam seperti 'ini adalah XX dari UK, ingin mengucapkan selamat ulang tahun kepada Anwar. Ucapan itu juga dibuat dalam pelbagai bahasa," kata Lim.
"Sesetengah mereka turut menyelitkan mesej peribadi, seperti mereka mahu melihat beliau dibebaskan atau berharap dirinya menjadi perdana menteri dan bukannya Najib (Razak)," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Tarikh akhir untuk penyerahan video adalah sebelum 7 Ogos ini.
Selain kompilasi ucapan selamat hari jadi, aktiviti lain turut diadakan seperti pameran gambar-gambar lama, bacaan puisi, ucapan dan juga nyanyian.
"ADUN Semambu, Lee Chean Chung akan mendedangkan lagu Kantonis. Pameran gambar-gambar mereka yang bergambar dengan Anwar juga akan diadakan," katanya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana meliwat , tuduhan liwat kedua yang dihadapinya dalam tempoh sedekad.

