Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cita-cita saya nak buka akademi lumba motor wanita'

Pelumba Motor Cup Prix Siti Fatimah Husna Muslim kini mampu tersenyum dengan kejayaan yang diperolehi dalam Kejohanan Supermoto Malaysia CKD 2015 apabila muncul sebagai juara keseluruhan.

Katanya, kegembiraan itu mahu dikongsikan bersama wanita lain yang berpotensi menjadi pelumba sepertinya kerana gadis berusia 25 tahun bercita-cita ingin membuka akademi permotoran buat kaum hawa.

“Saya bercita-cita nak buka akademi permotoran khas untuk rider wanita sahaja. Saya mahu ambil pengalaman dan peluang yang ada sekarang untuk gunakan satu hari nanti untuk buka satu akademi saya.

“Saya tahu dulu saya pernah rasa susah nak naik, niat saya nak bantu wanita luar sana yang berminat berlumba, saya nak beri mereka jalan yang mudah bagi mencari bakat baru.

“Mana tahu melalui akademi saya, kita boleh jumpa rider wanita kerana kita tidak tahu bakat orang kan,” katanya kepada Malaysiakini.

Siti Fatimah kini merupakan pelumba Cup Prix dalam pasukan Petronas Yamaha CKJ.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini Siti Fatimah yang hadir ditemani tunangnya Mohd Saufi Abdul Rauf,30 tidak lekang dengan senyuman apabila ditanya mengenai perancangan masa depannya.

Katanya, dia akan melangsungkan perkahwinannya September ini selepas setahun mengikat pertunangan.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata dia akan terus berlumba meskipun bergelar seorang isteri kerana minat yang mendalam terhadap sukan permotoran

“Pasangan saya sangat memahami minat saya dan dia mendorong saya untuk terus berlumba.

"Dua minggu sebelum majlis perkahwinan kami berlangsung, saya ada perlumbaan motor dan dua minggu selepas bernikah, saya ada perlawanan lain,” katanya.

Sebelum ini, Siti Fatimah yang mengenakan imej muslimah menjadi perhatian warga media sosial selepas beberapa keping gambarnya menyertai perlumbaan motosikal cup prix, lengkap berpakaian pelumba telah tersebar.

Graduan kejuruteraan itu kini lebih dikenali sebagai ‘rider muslimah’ kerana bertudung litup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS