Jenazah bekas SU akhbar Zahid selamat dikebumikan
Jenazah Allahyarham Abd Halim Ab Majid, bekas Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selamat dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Rinching Tengah,
Semenyih di Kajang.
Terdahulu, jenazah Abd Halim, 62, disembahyangkan di kediamannya di Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum disemadikan pada 11.35 pagi.
Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kajang sejak Selasa kerana mengalami strok dan pendarahan pada otak sebelum meninggal dunia pada 7.05 petang, Khamis.
Anak bongsu Allahyarham, Muhammad Asyran, 28, berkata bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan bahawa dia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
"Tiada pesanan terakhir atau apa-apa tanda pelik menunjukkan dia (bapa) akan pergi, semuanya macam biasa saja," katanya ketika ditemui pemberita di Kajang.
Ibrahim Talib, 59, rakan baik yang mengenali Allahyarham Abd Majid sejak tahun 70-an, menyifatkan beliau seorang yang sangat baik dan suka membantu rakan-rakannya.
"Kami menjadi rapat sejak bekerja sebagai pegawai khas media di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu namun Allahyarham yang mengalami masalah buah pinggang terpaksa berhenti kerja awal."
Katanya apa yang paling terkilan ialah Allahyarham tidak sempat meraikan majlis perkahwinan anak bongsunya pada Oktober ini.
Abd Halim meninggalkan seorang isteri Normah Ab Talib, 60, dan tiga anak iaitu Muhammad Ikram, 32, Norhaizum, 30, dan Muhammad Asyran, 28.
Allahyarham juga merupakan bekas penerbit di Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV3 serta bekas penerbit Program Rancangan Sekapur Sirih TV3 dan pernah bertugas sebagai wartawan di Berita Harian pada 1970-an.
- Bernama

