HARAPAN gerakkan petisyen bantah kenaikan parkir di KL
Pakatan Harapan memulakan petisyen atas talian bagi membantah kenaikan drastik dalam bayaran letak kereta dan dasar penswastaan parkir di Kuala Lumpur.
Mereka berharap mampu mengumpul 20,000 tandatangan sebelum menyerahkan petisyen berkenaan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
"Harap bantu kami sebarkan berita tentang petisyen ini kepada penduduk Kuala Lumpur,.
"Kami akan menyerahkannya kepada Tengku Adnan. Mereka membuat keputusan dalam bilik berhawa dingin.
"Mereka tidak tahu tentang kesusahan rakyat. Mereka tidak tahu bagaimana sukarnya untuk mencari tempat letak kereta sekarang dan bagaimana susahnya untuk menaiki bas," katanya.
Kok seterusnya mencabar menteri berkenaan untuk menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja, dari rumahnya di Bukit Tunku ke pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Putrajaya.
DBKL meningkat kadar parkir kepada hampir 150 peratus di kawasan pusat perniagaan (CBD) mulai 8 Julai lalu.
Ia menjejaskan kawasan-kawasan seperti Bukit Bintang, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Bukit Damansara, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.
Berikutan bantahan orang ramai, DBKL kemudiannya menyelaraskan kadar letak kereta mengikut jam di kawasan-kawasan berkenaan dari RM2 sejam kepada RM1.50 untuk jam yang pertama, dan RM3 kepada RM2.50 untuk jam kedua dan seterusnya.
Bagi kawasan di luar pusat bandar tetapi mempunyai tahap aktiviti tinggi seperti Sentul, Bangsar dan Brickfields, caj yang dikenakan untuk jam pertama dan seterusnya adalah RM1, manakala bagi kawasan di luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak, kadar untuk jam pertama dan seterusnya adalah RM0.80.
Tahun lalu, DBKL telah melantik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), cabang kebajikan Kementerian Wilayah Persekutuan, untuk menguruskan sistem letak kereta di Kuala Lumpur.
YWP memperkenalkan sistem letak kereta baru dan maju dikenali sebagai sistem CCP (City Car Park).
Di bawah perjanjian itu, YWP akan membayar 35 peratus atau RM600,000 daripada pendapatan kasar kutipan letak kereta kepada DBKL setiap bulan.
Terdahulu, Kok, bersama-sama dengan lima ahli parlimen pembangkang di Lembah Klang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan Jaganathan.
Mereka adalah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli turut hadir dalam kapasitinya sebagai ketua AMANAH Wilayah Persekutuan.
Mereka meminta DBKL untuk membatalkan kenaikan bayaran letak kereta kerana merasakan kadar yang telah disemak semula itu masih terlalu tinggi bagi pemilik kenderaan.

