Pihak polis sedang memburu seorang banduan yang melarikan diri dari Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) Kem Desa Pahlawan,
Kok Lanas semalam. 

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Baharom Abu berkata banduan berkenaan Mohd Rodzuan Ismail, 37, yang berasal dari Kampung Jakar, Ayer Lanas, Tanah Merah dipercayai melarikan diri kira-kira 12.30 tengah hari ketika dia menjemur pakaian.

"Berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup di pusat berkenaan mendapati semasa kejadian lelaki itu memakai seluar pendek dan tidak berbaju yang melarikan diri dengan memanjat pagar pintu belakang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu hari ini.

Beliau berkata Mohd Rodzuan dihukum penjara selama dua tahun sejak 20 Jan lepas di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis telah mengadakan sekatan jalan raya dan membuat pemeriksaan di rumahnya di Kampung Jakar," katanya.

-Bernama