WAWANCARA | Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii menerima kritikan minggu lalu apabila beliau mendakwa 2M yang merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi kaya-raya lebih tujuh generasi dan sepatutnya berterima kasih kepada parti.

Ramai bertanggapan bahawa kenyataan Razlan itu sebagai pengakuan secara tidak sengaja mengenai budaya rasuah dalam Umno dengan panglima perang merampas wang rakyat untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.

Bagaimanapun, dalam wawancara dengan Malaysiakini, jelas Razlan, ia bukan apa yang beliau maksudkan.

Sebaliknya, ujar beliau, apa yang dimaksudkan ialah Muhyiddin dan Mahathir mendapatkan kedudukan yang baik dalam kerajaan, dibayar gaji yang tinggi dan diberikan layanan khas.

"Saya tidak maksudkan rasuah. Kesemua mereka hidup kaya-raya, diberikan kedudukan yang baik dalam pekerjaannya, gaji yang tinggi, mendapat layanan VIP, permaidani merah, penerbangan kelas perniagaan dan kelas pertama dan semua kerana Umno.

"Itulah yang saya maksudkan," kata Razlan di pejabat Malaysiakini, Jumaat yang lalu.

Tambahnya, beliau membuat kenyataan sedemikian agar mereka mengingati dan bersyukur di atas sumbangan parti itu kepada mereka.

"Jika anda mahu untuk berperang dalam parti lain, teruskan tetapi janganlah memperkecilkan tempat di mana kamu pernah mencari nafkah." katanya.

Mahathir keluar Umno pada awal tahun ini manakala Muhyiddin dipecat dua bulan lalu untuk bersekongkol dengan pembangkang menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam menyerang Najib, kedua-dua pemimpin itu turut menzahirkan kritikan terhadap Umno atas sokongan berterusan kepada presiden parti.

Diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, Razlan turut menafikan Muhyiddin pernah melakukan rasuah atau wujudnya budaya rasuah dalam Umno.

"Jika seseorang ingin melakukan rasuah, mereka boleh lakukannya walaupun menjadi kerani," kata Razlan lagi.

[Baca berita penuh]