Terjemahan Tidak sampai seminggu selepas beliau dilaporkan menggesa supaya malaysiakini diharamkan kerana menyiarkan laporan gurauan April Fool , hari ini Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Prof Hamdan Adnan berkata, pihak berkuasa seharusnya boleh menerima gurauan.

"Pihak berkuasa tidak sepatutnya terlalu sensitif," katanya ketika dihubungi. Hamdan yang juga Pesuruhjaya Suhakam, menambah, tidak semua perkara boleh dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Laporan gurauan April Fool itu menyebut kononnya tiga menteri dan seorang menteri besar akan didakwa atas tuduhan rasuah. Satu lagi laporan kembar pula menjelaskan bahawa ianya hanyalah satu gurauan April Fool .

Dalam reaksi selepas berita itu disiarkan, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail memberitahu pihak media yang beliau tidak nampak sebarang gurauan berhubung laporan tersebut, dan berkata akan mengambil tindakan terhadap malaysiakini.

Beliau juga dilaporkan akan mengarahkan pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.

Bagaimanapun semalam, Abdul Gani memberitahu malaysiakin i bahawa beliau telah disalahpetik dan tidak pernah berkata akan mengarahkan polis menyiasat perkara tersebut.

'Kenyataan saya disalaherti'

Manakala Hamdan pula dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia menggesa supaya malaysiakini diharamkan kerana menyiarkan gurauan April Foo l itu.

Hari ini, beliau jugamendakwa kenyataannya itu telah "disalaherti".

Penasihat Fomca itu berkata beliau tidak menggunakan perkataan "diharamkan" atau secara khususnya menyebut malaysiakini , tetapi sekadar memberitahu pemberita akhbar itu bahawa kerajaan patut bertindak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab jika cukup justifikasinya untuk berbuat demikian.

Utusan Malaysia melaporkan: "Tindakan sebegini harus dibanteras dengan kerajaan menutup laman web sebegini sebagai amaran kepada pihak-pihak lain yang mencuba taktik tidak bertanggungjawab ini."

Menjelaskan lanjut mengenainya, Hamdan memberitahu malaysiakini hari ini bahawa pihak media patut diberi lebih kebebasan,terutama ketika negara sedang membangun.

Perlu lebih berhati-hati

Hamdan yakin pihak berkuasa tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap malaysiakini, kerana "itu akan hanya mencerminkan rasa tidak yakin pada diri sendiri, jika ia berbuat demikian."

"Perlu ada justifikasinya jika hendak menutupnya ( malaysiakini )," tegasnya lagi.

Pada masa yang sama, katanya, malaysiakini , sebagai sebuah portal berita yang bertanggungjawab, juga perlu lebih berhati-hati dalam menyiarkan laporannya.

Beliau bimbang kredibiliti lamanweb tersebut akan terjejaskan disebabkan oleh gurauan seumpama itu.