Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas TPM: Malaysia sedang merosot seperti Filipina dulu

Malaysia sedang mengalami kemerosotan dan boleh berakhir sebagaimana pernah dialami Filipina, kata bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam.

Beliau berkata sejak kerajaan berhadapan dengan skandal-skandal mega, perkara-perkara lain, seperti kejadian tembakan pada siang hari, tidak diuruskan dengan baik.

Katanya, rakyat kini biasa dengan situasi itu dan seperti berlaku di Filipina pada zaman lalu apabila rakyatnya membawa senjata untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata ini adalah kebiasaan terbaru di Malaysia.

"Saya rasa negara bergerak menuruni bukit. Kelajuannya perlahan, tetapi ia boleh menjadi cepat".

"Saya menyaksikan Filipina pada masa lalu, ia pergi ke arah negara gagal..."

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran buku barunya di Kuala Lumpur hari ini, Musa berkata: "Itulah yang sedang berlaku di negara kita."

Bagaimanapun keadaan huru hara di Filipina lebih baik selepas Benigno Aquino III mengambil alih jawatan presiden pada 2010, katanya lagi.

Aquino adalah anak kepada bekas pemimpin pembangkang Benigno Aquino Jr dan bekas presiden Filipina Corazon Aquino. Penggalnya sebagai presiden berakhir tahun ini.

"Tiga hingga empat tahun selepas Aquino mengambil tempat, kamu boleh melihat perubahan.

"Kadar pertumbuhan mereka adalah sesuatu yang membanggakan Asia Tenggara," kata Musa sambil menambah bahawa ia disebabkan kepimpinan baik yang mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu utama.

Musa menegaskan sesetengah pihak melihat penyingkiran Najib sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan dilema dihadapi Malaysia sekarang.

"Saya tidak mengatakannya. Ia mungkin, tetapi kamu perlu melalui proses itu," katanya sambil menambah perkara yang terbaik untuk dilakukan kerajaan adalah membiarkan rakyat meluahkan pandangan mereka.

"(Perhimpunan) BERSIH akan datang, kamu boleh mengotorkannya atau kamu boleh menjayakannya. Selama kamu membenarkan orang ramai menyatakan pandangan mereka, selagi kamu tidak mencari alasan untuk memenjarakan rakyat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai perhimpunan BERSIH 5.0, beliau memberikan jawapan lucu: "Saya tak akan mudah berikan awak tajuk berita," menyebabkan wartawan yang hadir ketawa.

 

Lihat Komen
ADS