Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN  Umno terikat untuk membantu syarikat Utusan Melayu yang diambil alih daripada penajanya iaitu pemegang-pemegang sahamnya sama ada kecil dan besar yang terdiri daripada orang Melayu pada tahun 1961.

Walaupun menyertai pasaran saham, tetapi Umno tidak terlepas daripada tanggungjawab ini untuk kepentingan politiknya malah sering membantu bila Utusan dalam kesempitan.

Umno perlu merampas kuasa ini daripada pemegang saham bebas kerana Utusan semasa itu dikuasai oleh wartawan-wartawan kiri yang pro-Indonesia, sosialis dan komunis.

Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman terpaksa menyingkirkan penajanya Yusuf Ishak kerana tidak dapat mengawal penguasaan golongan ini yang juga mahu menyingkirkannya.

Yusuf juga tidak mahu megikut arahan Tunku sepenuhnya sebaliknya mahu meneruskan dasar bebas Utusan Melayu sebagai suara rakyat Melayu.

Walaupun Umno telah mengambil alih Utusan dan menjalankan dasar menyokong parti dan kerajaan tetapi Utusan masih dibenarkan oleh Umno untuk menyiarkan berita-berita daripada pembangkang tetapi dengan syarat tidak mengutamakannya dan tidak menyokong mereka.

Dengan dasar yang longgar ini, Utusan masih dilihat dan dirasakan sebagai akhbar rakyat dan tidak dianggap sebagai akhbar parti atau suara parti Umno (Fakta-fakta ini dapat ditemui dalam buku Kisah Sejarah Utusan Melayu Di Depan Api Di Belakang Duri yang diterbitkan oleh Utusan Melayu).

Dalam mempertahankan dasar ini, saya sebagai ketua pengarang Utusan dalam tahun 80 an pernah dipanggil oleh presiden Umno ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini tun) yang disertai oleh beberapa orang menteri besar untuk menegur Utusan kerana menyiarkan wawancara khas wartawan Rosnah Majid dengan MB Kelantan (PAS) Datuk Nik Aziz yang baru menguasai Kelantan.

Saya bertanya kepada Mahathir: Adakah Datuk Seri hanya mahu Utusan dibaca oleh orang Umno sahaja dan mesej kita tak perlu sampai kepada orang bukan Umno?

Inilah yang berlaku sekarang menyebabkan edaran Utusan telah jatuh dengan begitu teruk di samping hadapi saingan dan ancaman media sosial yang lebih bebas.

Utusan tidak sewajarnya menghadapi keadaan ini kerana ia mempunyai pembaca tegar tetapi mereka juga telah meninggalkan Utusan kerana Utusan telah hilang perimbangan dan kerakusannya dalam menyokong kerajaan dan menyebabkan pembaca setianya pun merasa jelak dan mual.

Jelek dan memualkan

Apabila berada dalam kelemasan dan panik, liberalisme kewarasan dan kebijaksanaan Utusan telah hilang.

Tulisan wartawan-wartawannya sendiri yang bersifat kritikal dan radikal diharamkan dan wartawan-wartawan Utusan yang mempunyai peminat besar berhenti atau diberhentikan.

Orang membaca Utusan merasakan seperti membaca suara parti, seperti membaca Harakah (PAS) atau Roket (DAP). Mengecam, menghentam pihak tertentu tanpa mengetahui kenapa mereka dihentam.

Kerakusan ini menjelekkan, memualkan. Utusan Melayu hilang kredibiliti politik, autoriti berita dan integriti kewartawanan.

Peranan bijaksana telah diambil alih oleh Sinar Harian yang walaupun pro-Umno dan kerajaan tetapi tidak secara rakus atau blatantly menyokong kerajaan dan memboikot pembangkang.

Apakah ini kesalahan para pengarang Utusan? Jika akhbar lain menyiarkan berita-berita yang anti kerajaan atau kritikan terhadap Najib atau friendly kepada pembangkang tidak menjadi perhatian tetapi Utusan akan ditegur dari masa ke semasa sehingga ketua pengarangnya berada dalam keadaan tidak selesa.

Lebih buruk lagi Utusan terpaksa memberikan tempat kepada orang-orang yang diketahui ramai sebagai pencacai atau "ulak ayak" politik.

Semua ini meruntuhkan lagi integriti Utusan sebagai akhbar parti yang berkredibiliti.

Apakah bad press ini dapat dikembalikan dengan Umno mencurahkan berjuta ringgit untuk memulihkan imej Utusan yang tercemar oleh kerakusan dan kebodohan tangan politik yang cuba berlagak sebagai profesional?

Untung politik Umno

Setiap sen yang Umno belanjakan, Umno mahu keuntungan politiknya malah orang Umno sendiri akan bertindak menyaman malu Utusan jika kepentingan dan kemungkaran mereka dirugikan oleh akhbar itu.

Seorang MB telah menyaman malu Utusan. Dari segi logiknya, apakah Umno wajar membantu Utusan jika akhbar itu sudah tidak lagi menjadi suara berkesan dan tidak lagi berpengaruh?

Adakah ahli-ahli Umno, pemimpin-pemimpin kecil dan seluruh pemimpin besar Umno di peringkat negeri dan persekutuan memikirkan hal ini dan mempunyai simpati dan sentimen sayang pada Utusan seperti yang dimiliki oleh mereka yang telah sekian lama jatuh bangun bersamanya?

Orang Umno sendiri pun tak beli Utusan dan tidak membaca Utusan.

Sentimen sayangkan kepada Utusan Melayu ini lebih kepada hasrat untuk melihat sebuah institusi Melayu bersejarah dan berjasa terus hidup selain satu-satunya syarikat Melayu tertua dan terus hidup setelah melalui berbagai pahit getir, cabaran politik dan kewangan sejak 70 tahun lalu.

Saya sendiri sebagai manusia yang hidup dalam dua zaman besar Utusan Melayu pastinya mengharapkan Utusan terus hidup dan maju.

Ia adalah darah daging saya tetapi perubahan sosial, politik dan kemajuan teknologi serta masalah dalaman pengurusan yang tidak berpengalaman menampakkan masa depan yang gelap bagi akhbar ini.

Masalah ini juga dihadapi oleh akhbar cetak lain sehingga NST sendiri jatuh jualannya kepada hanya lebih 30,000 naskah sahaja sehari.

Bagaimanapun, ia dapat bergantung kepada Media Prima. Utusan tidak ada tempat bergantung kecuali langsung kepada Umno.

Saya sendiri telah membaca akhbar cetak terutama Utusan Melayu/ Malaysia sejak 50 tahun dahulu tanpa ketinggalan seharipun kecuali apabila keluar negara. Tetapi sekarang saya boleh katakan jarang sekali membaca akhbar mana pun.

Perasaan sentimental

Utusan dihidupkan semula oleh Yusuf Ishak (Allahyarham) dan rakan-rakan penaja di Singapura setelah Jepun kalah dalam peperangan dunia ketiga pada tahun 1945.

Beliau yang sakit dalam masa peperangan telah kembali ke kampungnya di Taiping dan bila tamat perang berjalan kaki dan juga menumpang bermacam kenderaan untuk kembali ke Singapura bagi menerbitkan semula Utusan Melayu (Jawi) pada September 1945.

Tetapi kemudiannya wartawan-wartawan kiri yang menguasai Utusan juga mengenepikannya kerana tidak setuju dengan kekirian mereka.

Beliau tersingkir kerana mempertahankan dasar bebas Utusan. Bila Tunku mengutus S.M. Shah, anggota lembaga pengarah Utusan untuk pergi menemuinya di rumahnya di Gombak untuk memberitahunya supaya berundur, Yusuf Ishak menangis seperti keanakan dan bertanya "apa dosa saya".

Beliau mahu membunuh diri (diceritakan sendiri kepada saya oleh H.M.Shah).

Utusan Melayu yang ditubuhkan bersama-sama dengan rakan-rakannya dan sokongan orang Melayu dalam tahun 1938-1939, terlalu berharga baginya.

H.M. Shah yang berkawan dengan Yusuf sejak Utusan ditubuhkan di Singapura terpaksa menenangkannya dan meninggalkannya setelah dia pulih.

Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang menjadi peguam pertama Utusan dan mengenali rapat Yusuf Ishak sebagai seorang yang jujur, dedikasi, terpelajar dan tidak rasuah dan berkorban hidupnya untuk Utusan Melayu telah mengambil Yusuf setelah dibuang dari Utusan.

Kuan Yew melantiknya menjadi pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura, Yang di Pertuan Negara Singapura dan akhirnya menjadi Presiden Singapura.

Sebuah masjid atas namanya juga sedang dibina di Woodlands Drive 17, Singapura untuk mengenang jasanya.

Umno wajar membantu terus syarikat Utusan Melayu untuk jangka masa singkat supaya dapat membayar gaji pegawai, para wartawan dan pekerjanya yang lebih seribu orang di samping menyediakan pelan jangka panjang bagi menjamin survivalnya.

Utusan Melayu tidak lagi boleh hidup di atas perasaan sentimental.

Lihat Komen
ADS