Ketakutan terhadap kanser jadikan Jho Low bijak, berani
Jika gunakan enjin carian Google dengan menaip nama 'Jho Low', maka kebanyakan keputusannya akan mengaitkan nama tersebut dengan kemelut 1MDB.
Ada cakap-cakap tentang rancangan penerbit TV untuk membuat dokumentari berhubung jutawan kelahiran Malaysia itu dan mewawancara beberapa penghibur Las Vegas dan orang kenamaan yang menghadiri dan membuat persembahan pada tiga parti luar biasa lagi mewah yang dibiayainya.
Terdapat juga video YouTube yang menampilkan pendedahan Low tentang bagaimana ketakutan terhadap penyakit kanser telah mendorong beliau untuk bercita-cita tinggi dan mengambil langkah berani.
Selain itu, beliau juga berbicara mengenai penubuhan yayasan amal bagi memastikan akses dan maklumat yang lebih baik untuk pesakit kanser.
Penerangan dalam video itu berbunyi: Low selaku Ketua Pegawai Eksekutif Jynwel Capital dan Pengarah Yayasan Amal Jynwel menerima penghormatan Angel Gabrielle pada acara Angel Ball 2014.
Menyaksikan sambil belajar bagaimana keluarganya terjejas akibat kanser dan bagaimana, bersama-sama Pusat Kanser MD Anderson dan IBM Watson, Yayasan Jynwel mengambil langkah berani untuk mendemokrasikan akses kepada rawatan kanser di seluruh dunia.
Dalam ucapan alu-aluan di New York, Low menceritakan datuknya berhijrah dari China ke Malaysia pada era 1940-an.
"Beliau menjadi kaya pada 1960-an dan mengaut hasil usahanya itu dalam kuantiti yang banyak untuk diberikan kepada masyarakat di seluruh Asia - sekolah, hospital , pusat komuniti dan anak-anak yatim.
"Semua yang dilakukannya, segala-galanya dipelajariku dan semua yang menjadi pegangannya telah memberi inspirasi kepada saya hari ini. Inilah sebab saya berdiri di hadapan anda semua hari ini.
Kata Low, beliau menjalani pemeriksaan perubatan yang terperinci pada tahun 2012 buat kali pertama dalam hidupnya yang telah mengubah perspektifnya.
"Apabila doktor panggil, beliau kelihatan benar-benar, sangat serius. Buat kali pertama dalam hidup, saya rasa dunia telah runtuh.
"Doktor beritahu saya mungkin menghidap kanser peringkat 2 atau 3. Ia adalah salah satu ketika yang merobah hidup dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.
Ujar beliau, dalam penerbangannya ke Abu Dhabi, beliau tidak dapat lari dari berfikir dunia akan berakhir baginya.
"Minggu itu, saya bertemu dengan seorang kawan Mohamed Al- Husseiny yang turut ada di sini malam ini.
"Mohamed dapat meneka ada sesuatu sedang berlaku dan saya meluahkan dengannya apa yang telah berlaku.
"Dan dia dengan segera menghantar nota kepada Dr Linda Chin...yang juga berada di sini malam ini... Buat kali pertama dalam hidup, dalam banyak, bertahun-tahun, saya betul-betul tidak bekerja. Mereka hentikan saya.
"Dan saya kembara ke Houston dalam penerbangan yang paling lama yang pernah dialami dalam hidup ini sambil memikirkan apa yang hidup seterusnya," tambahnya.
Tidak jelas sama ada Low merujuk kepada Mohamed Ahmed Badawy Al- Husseiny yang bersama-sama dengan Low di kalangan mereka yang dinamakan dalam saman oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.
Badawy ialah ketua pegawai eksekutif Aabar Investments PJS (Aabar), anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dimiliki UAE.
Sementara itu, Low dalam ucapannya, turut mengimbau detik-detik kesepian yang dirasai dalam tempoh enam bulan seterusnya dan setelah keluar masuk hospital, para pakar perubatan membuat kesimpulan beliau tidak menghidap kanser.
"Saya bernasib baik, sangat, sangat bertuah," luah beliau.

