Sembilan lelaki, termasuk tiga warga asing yang dipercayai terlibat dengan kegiatan militan Daesh, ditahan di beberapa
lokasi dalam negara antara 20 Julai hingga 9 Ogos lepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 56 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ada di kalangan suspek merancang melakukan beberapa serangan di negara ini termasuk di Bukit Aman serta pusat hiburan di Johor.

Seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan di Sabah merancang melakukan serangan 'Lone Wolf' dengan menyembelih orang bukan Islam di Sandakan selepas menerima arahan dari anggota Daesh di Syria, katanya.

Remaja berkenaan juga mengancam untuk membunuh Ketua Polis Negara melalui akaun Facebook miliknya, kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

"Seorang lagi suspek berusia 26 tahun ditahan di Johor merancang melakukan serangan di Bukit Aman dan Kompleks kerajaan di Putrajaya," katanya menambah lelaki berkenaan disyaki menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi, iaitu anggota kumpulan pengganas Daesh Malaysia di Syria.

Selain itu, katanya tiga warga asing yang juga bekas tentera ditahan kerana dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit untuk mendapatkan dokumen perjalanan palsu.

"Mereka juga merancang untuk melancarkan serangan di salah sebuah negara di Timur Tengah," katanya tanpa mendedahkan kewarganegaraan tiga suspek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata suspek serangan bom di Puchong pada 28 Jun lepas, iaitu Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, berjaya ditahan pada 9 Ogos lepas.

Kedua-duanya yang dipercayai terlibat dalam kejadian letupan bom tangan di sebuah premis hiburan di Puchong dibekas di sebuah pondok di kawasan berbukit di Kuala Krai, Kelantan, katanya.

"Sejak awal Julai ini, kedua-dua lelaki ini (Md Saifuddin dan Jasanizam) menunggu arahan Mohamad Wanndy untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Johor Bahru.

"Polis juga berjaya merampas sebutir bom tangan jenis M67 yang disyaki akan digunakan dalam serangan yang dirancang itu," katanya.

Menurut Khalid, dua suspek lain turut ditahan kerana bersubahat menyembunyikan Jasanizam dan Md Saifuddin masing-masing di Batu Pahat, Johor dan Kuala Krai, Kelantan.

Sehubungan itu, Khalid berkata kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

- Bernama