Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Bagaimana BERSATU berjuang untuk Melayu dengan DAP?

Bagaimana mungkin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjuang untuk orang Melayu sekiranya mereka bekerjasama dengan DAP.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata ini kerana mereka sendiri sebelum ini menggelar DAP sebagai anti-Melayu dan Islam.

Merujuk kepada parti serpihan Umno itu sebagai 'PRIBUMI', Najib berkata kerjasama itu jelas tidak akan memberi manfaat kepada orang Melayu.

"Mahathir sendiri, Muhyiddin dulu sendiri telah menyelar mereka (DAP) sebagai parti anti-Melayu, anti-Islam dan cauvinis.

"Ayat itu keluar daripada mulut mereka sendiri," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Kota Tinggi hari ini.

Mahathir sebelum ini mengumumkan keluar Umno manakala Muhyiddin dipecat sebelum mereka menubuhkan BERSATU bagi menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

Parti itu digelar perkauman oleh kumpulan-kumpulan bukan Melayu kerana mengehadkan keanggotaan mereka kepada Melayu dan bumiputera sahaja.

DAP sekian lama dilabel sebagai parti anti-Melayu oleh parti lawannya disebabkan perjuangan Malaysian Malaysia dan kesamarataan kaum, yang sesetengah pihak menganggap sebagai mempertikai hak istimewa orang Melayu.

Sementara itu, perdana menteri hari ini secara terbuka menyebut nama bekas timbalannya dan Mahathir.

Selain menyerang parti baru mereka, Najib juga mengulangi ucapannya pada persidangan perwakilan Umno bahagian Tangga Batu di Melaka semalam.

Ini termasuk desakan Mahathir agar beliau membina jambatan bengkok ke Singapura dan pejabat untuk bekas perdana menteri itu.

"Saya boleh memecahkan rekod Mahathir, tetapi saya tidak mempunyai apa-apa niat untuk berbuat demikian.

"Saya mahu menjadi seorang presiden yang disokong oleh ahli-ahli parti," katanya.

Beliau merujuk keputusannya meminda perlembagaan Umno agar lebih mudah jawatan presiden ditandingi, dengan memansuhkan keperluan bagi pencabarnya menerima sokongan daripada 63 bahagian.

Lihat Komen
ADS