Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan dilapor sekali lagi ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pemerasan yang dilaporkan di daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, pada 2014.

Sanjeevan, 31, ditahan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) polis kontinjen Kuala Lumpur, di Medan Damansara, kira-kira jam 7.30 malam tadi, lapor BH.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Roslee Chik berkata, tangkapan dibuat berdasarkan laporan polis oleh mangsa yang mendakwa pernah diperas ugut.

"Kali terakhir dia ditahan adalah Khamis minggu lalu oleh Polis Triang, Pahang berhubung kesalahan peras ugut manakala sembilan kertas siasatan sudah dibuka terhadapnya.

"Tangkapan terbaru semalam bermakna 10 kertas siasatan dibuka terhadapnya," beliau dipetik sebagai berkata kepada BH.