Suspek tembak imam di New York didakwa
GLOBAL Suspek utama yang menembak mati seorang imam di New York dan pembantunya kini ditahan polis New York.
Pendakwaan terhadap Oscar Morel, 35, dari Brooklyn, berlaku hanya beberapa jam selepas beratus-ratus orang berkabung dan berkumpul untuk upacara pengebumian imam Maulama Alkonjee, 55 dan Thara Uddin, 64.
Pembunuhan di Ozone Park, Queens itu mengejutkan masyarakat Bangladesh di sekitarnya.
Morel didakwa dengan dua tuduhan menyebabkan kematian dan dua tuduhan memiliki senjata api, kata jurucakap polis.
Jurucakap itu bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang motif pembunuhan.
Kelmarin, Maulama Akonjee dan Thara Uddin ditembak di kepala dari jarak dekat oleh seorang lelaki selepas selesai menunaikan solat zuhur di Masjid Al-Furqan Jame, di Ozone Park, Queens.
Maulama dilaporkan membawa bersama wang tunai berjumlah AS$1,000 (RM4,011) tetapi wang itu tidak diambil.
Polis berkata, mereka masih tidak mengetahui hubungkait antara lelaki hispanik dari Brooklyn itu dengan mangsa pembunuhan.
"Kami percaya kerana bukti yang kami telah peroleh setakat ini... ini adalah individu itu," kata Ketua Detektif New York, Robert Boyce seperti dilapor Reuters.
Masyarakat Islam merayu pihak berkuasa menyiasat pembunuhan itu sebagai jenayah kebencian dan meningkatkan usaha melindungi masjid dan bahagian bandar seperti Ozone Park yang mempunyai ramai penduduk dan pekerja muslim.
"Kami mahu keadilan," kata Badrul Kahn, pengasas Masjid Al-Furqan kepada orang ramai dalam ucapannya.

