Ketua PKR cabang Balik Pulau, Datuk Abdul Halim Hussain hari ini mengadakan pendirian menolak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berkata, PKR seharusnya berpegang pada prinsip asas reformasi.

"Pertama, parti ini (BERSATU) sangat jelas perkauman dari Umno itu sendiri. Parti ini membuka keahlian kepada semua kaum tetapi hanya Melayu sahaja boleh memegang jawatan atau mengundi.

"Adakah bukan Melayu hanya layak menjadi tukang sorak. Jika parti ini diterima dalam Pakatan Harapan atau diterima sebagai rakan PKR, maka ia memberi isyarat PKR mengiktiraf diskriminasi kaum.

"Ia bakal menjadi beban kepada kita khususnya bila berdepan pilihanraya, selama ini PKR diterima sangat baik di kawasan campuran tetapi dengan mengiktiraf parti perkauman ini pasti memberi kesan pada tapak sokongan PKR itu sendiri," jelasnya dalam kenyataan.

Pucuk pimpinan tertinggi parti-parti pembangkang ini negara ini dari kalangan PKR, PAS, AMANAH mahupun DAP setakat ini masih belum memutuskan sama ada mahu mengadakan kerjasama dengan BERSATU atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim khabarnya menyambut baik penubuhan BERSATU dan berharap pemimpinnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memainkan peranan menggerakkan parti baru itu.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan kes liwat, berkata beliau akan mendengar berkaitan pembentukan parti baru itu.

“Sekarang beliau harus gerakkannya,” katanya semasa ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, baru-baru ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, ia agak pelik untuk menerima parti berasaskan bumiputera sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan.

"Ia merupakan satu yang di luar kebiasaan untuk mempunyai satu jenis parti berasas kaum dalam penubuhan Pakatan Harapan," kata Rafizi kepada Malaysiakini.

Didaftarkan pada minggu lalu, BERSATU dilihat menyasarkan penyertaan anggota Umno yang tidak puas hati dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, beliau tidak mahu bekerjasama dengan parti itu kerana Mahathir bukan sahaja tidak mengaku kesilapannya menzalimi Anwar malah terus menfitnah beliau.

"Ini persoalan penting dan jika salah ditangani, pepecahan sokongan bakal berlaku. Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa Mahafiraun, perompak negara tiba – tiba bila dia ketuai sebuah parti lain, kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin.

"Mahathir kena akui dan minta maaf atas semua kesilapanya malah tidak keterlaluan untuk pulangkan rompakan yang dilakukan seperti skandal Perwaja, Bank Bumiputera, Maminco Makuwasa dan gunakan wang negara untuk selamatkan anaknya," jelas beliau lagi.

Walaupun beliau boleh menerima kenyataan bahawa manusia boleh berubah, namun ia perlu dengan disertai dengan pengakuan, meminta maaf dan memulangkan apa hak yang diambilnya, kata Abdul Halim.

"Pimpinan PKR khususnya yang selama ini begitu rapat dengan Mahathir harus menyatakan pendirian dalam perkara ini. Sepatutnya didesak Mahathir meminta maaf dari Anwar dan seluruh rakyat Malaysia.

"Mood rakyat menolak Umno, BN cukup tinggi namun kita tidak mahu penampilan Mahathir yang mahu berkuasa kembali bagi memastikan legasinya mengganggu mood rakyat ini," tambahnya.