Majlis Tertinggi Umno pernah diberi amaran mengenai kemungkinan berlaku kekacauan di Memali, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Bagaimanapun, menurut Musa, anggota MT tidak memberi perhatian yang sewajarnya terhadap perkembangan yang berlaku, yang kemudiannya berakhir dengan kematian 14 orang awam dan anggota polis pada tahun 1985

"Sebagai anggota MT dan timbalan presiden parti, saya percaya adalah menjadi kewajipan saya untuk memberi taklimat kepada ahli mengenai apa yang berlaku di Memali akibat daripada tindakan ustaz ini (Ibrahim Mahmood @ Ibrahim Libya).

"Malangnya, MT kurang mempedulikannya.

"Hanya (Menteri Besar Terengganu, ketika itu) Wan Mokhtar (Ahmad) menunjukkan minat... Saya ingat lagi beliau memberi amaran kepada ahli MT yang dia (Ibrahim), jika tidak disekat, boleh mencetuskan pergolakan politik," tulis Musa dalam bukunya Frankly Speaking.

Beliau merujuk kepada jumlah hadirin yang ramai pada ceramah Ibrahim, seorang pendakwah agama.

Musa, yang juga Menteri Dalam Negeri pada masa itu, berkata maklumat mengenai perhimpunan itu diperoleh daripada pihak polis, dan juga dari Wan Ahmad, yang juga adalah ketua biro agama Umno.

Kejadian itu berakhir dengan pertumpahan darah, apabila penyokong Ibrahim dan polis bertempur apabila pihak berkuasa cuba menangkap pendakwah itu pada November 1985.

Musa dipercayai adalah pemangku perdana menteri ketika itu dan bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai berkenaan.

Walau bagaimanapun beliau akhirnya bersuara pada tahun 2014 mendedahkan bahawa perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada dalam negara semasa kejadian berlaku.

Dalam bukunya, Musa menceritakan bagaimana beliau mencadangkan kepada Mahathir supaya menangguhkan lawatannya ke China untuk menangani kejadian itu.

Mahathir berkata, beliau akan berfikir tentangnya, tetapi Musa mendakwa tidak lama kemudian, perdana menteri memberitahunya: ".. Saya akan pergi (ke China) kamu kendalikan ini."

Mahathir kemudiannya mengakui berada di negara ketika pembunuhan beramai-ramai itu berlaku, tetapi menegaskan bahawa ia berlaku semasa pengawasan Musa sebagai Menteri Dalam Negeri.