Dua wanita Kemboja mendakwa mereka menyaksikan bagaimana tahanan di pusat imigresen Juru tertakluk kepada penderaan fizikal yang begitu teruk, sehingga ada yang meninggal dunia.

Akhbar Kemboja, The Cambodia Daily melaporkan bahawa kedua-dua wanita berkenaan dihantar pulang dari Malaysia oleh pertubuhan hak buruh Kemboja, Central.

Seorang daripada mereka berkata dia bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia selama hampir dua tahun sebelum ditangkap pada awal tahun ini. Dia kemudian dihantar ke Juru.

Wanita itu mendakwa beliau melarikan diri daripada majikan terakhir akibat penderaan fizikal tetapi akhirnya tetap didera di depot tahanan pula.

"Di penjara, saya dipukul dan ditendang kerana tidak memahami kata-kata pegawai penjara," katanya kepada pemberita dalam satu temubual bulan lalu.

"Warga lain, seperti tahanan Vietnam, Thailand, Indonesia dan Laos, teruk diseksa," katanya.

"Mereka ditolak secara kasar terhadap dinding atau kepala mereka dihentak ke tembok. Ada seorang pegawai yang dipanggil Ma Pon yang sentiasa tumbuk dan tendang kami.

"Saya menyaksikan dua warga Kemboja dan seorang gadis Vietnam mati di penjara selepas mereka berkali-kali dipukul, ditendang dan ditumbuk di muka dan dada. Ketiga-tiga mereka teruk diseksa dan saya dapati mereka mati pagi esok kerana kami tidur di blok sama," katanya.

"Apabila saya bangun, saya cuba membangun mereka, tetapi mereka sudah mati."

Dengan pengetahuan bahasa Melayu dan Inggeris yang terhad cukup berguna bagi wanita itu untuk terlepas daripada kekejaman dan sepak terajang di penjara.

Dia diminta untuk menemani tahanan lain untuk dihantar ke hospital tempatan bagi mendapatkan rawatan kerana kebolehannya untuk menterjemah. Di sana dia menyaksikan empat lagi wanita mati - tiga warga Kemboja dan seorang Vietnam.

"Jadi, saya menyaksikan kematian lima warga Kemboja dan dua rakyat Vietnam," katanya.

"Penyeksaan itu berlaku kerana tahanan tidak boleh bercakap Melayu, jadi kami tidak memahami mereka," katanya.

"Saya boleh bercakap sedikit bahasa Inggeris jadi saya lebih bernasib baik daripada orang lain."

Wanita kedua berkata dia tiba di Juru selepas juga melarikan diri daripada majikan yang mengasari dirinya. Dia juga menyokong cerita rakannya itu berhubung penderaan fizikal dalam depot tahanan.

Keadaan di depot tahanan di Malaysia tidak asing lagi dengan keadaannya yang teruk dan Juru, khususnya terkenal sebelum ini sebagai tempat yang menyaksikan beberapa kematian tahanannya.

Malaysiakini telah menghubungi kedutaan Kemboja di Malaysia dan sedang menunggu pengesahan mengenai laporan akhbar itu.

[Baca berita penuh]