‘Tindakan ke atas individu dalam saman DOJ jika terbukti bersalah'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berikrar akan bertindak ke atas individu yang dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dengan 1MDB.
Tetapi ini hanya dengan syarat, terbukti wang milik dana pelaburan negara itu diselewengkan, katanya.
"Saya ingin merujuk kepada tindakan yang diambil oleh DOJ Amerika Syarikat, baru-baru ini berdasarkan aduan awam terhadap beberapa individu yang merupakan rakyat Malaysia.
"Oleh kerana dakwaan ini berkaitan dengan 1MDB, kerajaan memandangnya sebagai serius," kata Low semasa menyampaikan ucaptama pada simposium mengenai tadbir urus.
"Kes berkenaan perlu diteliti berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh para penyiasat.
"Sekiranya disahkan bahawa dana dibawa keluar dari 1MDB, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dinamakan, atau sesiapa sahaja yang bersubahat dalam skim ini yang didakwa menipu 1MDB," katanya.
"Wang itu - jika dicuri daripada kami - mesti dipulangkan semula sepenuhnya, dan mereka yang bersalah dihukum mengikut undang-undang kita dan di negara-negara di mana wang itu dicuci."
Beliau berkata, kredibiliti dan reputasi kerajaan sedang dipersoalkan.
"Justeru, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka yang melakukan jenayah itu," katanya.
Pendakwaan jenayah mesti dimulakan dan keluhuran undang-undang mesti ditegakkan, katanya.

